| BERITA TERGEMPAR | The Malaysia Economic Forum 2026 will be held on Feb 5 to strengthen the MADANI Economy narrative, ensuring inclusive and sustainable growth -- Economy Minister | |
KANGAR, 6 Jan (Bernama) -- Polis merampas 259 unit mesin perlombongan bitcoin berserta pelbagai peralatan sokongan keseluruhan dianggarkan bernilai RM958,000 dalam serbuan berasingan di tujuh premis sekitar bandar Kangar dan Kuala Perlis pada 31 Dis lepas.
Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata menerusi serbuan itu mendapati Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian dianggarkan RM15.55 juta susulan kegiatan perlombongan bitcoin yang dipercayai menggunakan sambungan elektrik secara haram.
"Serbuan dijalankan antara 9 pagi hingga 5.40 petang hasil maklumat awam berhubung gangguan bekalan elektrik akibat penggunaan tenaga secara berlebihan menerusi Op Cantas Elektrik.
“Hasil pemeriksaan mendapati semua premis terbabit melakukan penyambungan elektrik tidak sah tanpa meter bagi menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin yang dipercayai telah beroperasi antara tiga bulan hingga setahun sekali gus menjejaskan hasil dan operasi TNB,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Muhammad berkata operasi itu melibatkan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar bersama Pasukan Petugas IPD Kangar, Cawangan D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis serta dibantu juruteknik TNB Perlis, Team SEAL TNB Pulau Pinang dan Unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 19 tahun dalam serbuan itu yang direman pada 1 Jan dan 2 Jan lepas sebelum dilepaskan dengan jaminan polis manakala kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Muhammad menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kecurian elektrik atau mengesyaki aktiviti penyambungan tidak sah menyalurkan maklumat itu kepada IPK Perlis di talian 04-9872222 atau di balai polis berhampiran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial