PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Nazrin Hassan, lapan tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara menolak rayuan akhir pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Samirah serta kedua-dua remaja daripada pertuduhan tersebut.
Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.
Pada 8 Feb 2024, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang melepas dan membebaskan Samirah, 51, yang juga balu Nazrin, serta dua lagi remaja masing-masing kini berusia 20 dan 23 daripada pertuduhan tersebut.
Ketiga-tiga mereka dan seorang wanita rakyat Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 45, di kediamannya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi hari berikutnya.
Dalam penghakimannya, Abu Bakar berkata mahkamah mendapati tiada sebarang kekhilafan dalam alasan yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan ketika membebaskan Samirah serta kedua-dua remaja daripada pertuduhan tersebut.
"Berdasarkan hujahan bertulis dan lisan perayu serta responden, kami tidak dapat menyatakan pertuduhan dibuktikan secara prima facie di akhir kes pendakwaan.
"Pihak pendakwaan gagal membuktikan antara lainnya ketiga-tiga tertuduh mempunyai niat bersama untuk menyebabkan kecederaan yang akhirnya boleh menyebabkan kematian,” katanya.
Beliau berkata keterangan ikut keadaan tidak membuktikan satu kes prima facie di akhir kes pendakwaan dengan wujudnya orang keempat di dalam rumah mangsa.
"Secara keseluruhannya, kami sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta menolak rayuan perayu," katanya.
Terdahulu, panel hakim berkenaan meminta penjelasan daripada pihak pendakwaan berhubung niat bersama ketiga-tiga responden untuk menyebabkan bencana tubuh kepada mangsa sehingga membawa kepada kematian.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah berkata ketiga-tiga responden merupakan individu terakhir bersama mangsa kerana mereka berada di dalam rumah yang sama pada malam kejadian.
"Kita memang tidak dapat membuktikan siapa yang melakukannya namun tiada keterangan yang menunjukkan rumah itu dipecah masuk,'' katanya.
Menjawab soalan Abu Bakar mengenai kewujudan individu lain dalam rumah terbabit yang tidak dipanggil memberi keterangan, Mohd Asnawi berkata usaha telah dilakukan untuk mengesan wanita itu namun gagal.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Samirah dan kedua-dua remaja, pula berhujah wanita itu bukannya gagal dikesan kerana dia masih bersama-sama Samirah malah membantunya mengemas sebelum keluarga berkenaan berpindah dari Mutiara Damansara ke Taman Tun Dr Ismail.
Beliau berkata pertuduhan terhadap anak guamnya diragui kerana pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan niat bersama antara ketiga-tiga responden.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial