Shuib Mengaku Salah Promosi Vape, Didenda RM10,000

07/01/2026 02:03 PM

PUTRAJAYA, 7 Jan (Bernama) -- Pelawak Shahmira Muhamad atau lebih dikenali Shuib Sepahtu didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mempromosi bahan rokok elektronik (vape) menerusi program Dol’s Podcast, dua tahun lepas. 

Majistret Ezrene Zakariah juga memerintahkan Shuib, 42, dipenjarakan sebulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Shuib didakwa mempromosikan produk merokok sebuah jenama yang dikesan menerusi pautan https://www.youtube.com/watch?vz 7nMOPQxbFwo yang dibaca di Aras 3 Blok F1 Sektor Inspektorat dan Perundangan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan (KKM) pada 4.26 petang 22 Okt 2024.

Perbuatan itu melanggar Seksyen 9(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), iaitu mengambil bahagian mempromosikan produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau yang dimaksudkan atau berkemungkinan untuk menggalakkan mana-mana orang untuk merokok atau dipromosikan sebagai suatu produk berhenti merokok.

Shuib dituduh mengikut Seksyen 9(3) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 9(3)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan kali pertama. 

Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) Kua Ah Kiong memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran terhadap Shuib selaku orang kena saman (OKS) kerana tindakannya mempromosi bahan rokok memberi kesan buruk kepada masyarakat, khususnya dari segi kesihatan awam.

Beliau berkata perbuatan itu jelas melanggar Akta 852 dan kepentingan awam perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi OKS yang meraih keuntungan daripada promosi tersebut.

“Penggunaan produk merokok boleh menyebabkan implikasi kesihatan serius sehingga mengakibatkan kos rawatan tinggi sekiranya pengguna jatuh sakit.

“Tambahan pula, kanak-kanak dan remaja bawah 18 tahun mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk promosi produk rokok termasuk vape lebih-lebih lagi apabila dipromosikan individu berpengaruh yang dijadikan idola oleh masyarakat,” katanya.

Peguam Ahmad I’zzudin Ahmad Nadzri memaklumkan anak guamnya hanya bertindak sebagai penerbit podcast itu dan perjanjian dengan syarikat vape dibuat sebelum Akta 852 berkuat kuasa selain OKS dituduh pada 22 Okt 2024, iaitu sebelum pemberitahuan rasmi penguatkuasaan akta tersebut pada April 2025.

Bagaimanapun, beliau berkata OKS mengambil langkah bertanggungjawab dengan memadamkan kandungan podcast itu daripada YouTube dalam tempoh singkat bagi mematuhi akta berkenaan, menyebabkan pautan video tersebut tidak boleh diakses sekali gus tidak lagi memberi impak kepada masyarakat.

Shuib membayar denda itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan