NADI Laksana Penilaian Keselamatan Susulan Siri Pecah Masuk, Kecurian Di Johor

07/01/2026 08:03 PM

JOHOR BAHRU, 7 Jan (Bernama) -- Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Johor kini sedang melaksanakan penilaian keselamatan di pusat berkenaan susulan siri kejadian pecah masuk dan kecurian yang berlaku di negeri itu tahun lepas.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu merangkumi penambahbaikan kawalan akses, pengukuhan pemantauan fizikal serta pelaksanaan program kesedaran keselamatan yang lebih bersasar di peringkat komuniti.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan bertujuan mengurangkan risiko kejadian berulang, meningkatkan kesiapsiagaan petugas serta memperkukuh peranan komuniti setempat dalam usaha pencegahan jenayah.

MCMC memaklumkan bagi tempoh antara September hingga Disember 2025, 13 kejadian pecah masuk melibatkan NADI telah direkodkan di Johor yang mengakibatkan kehilangan wang tunai serta kerosakan aset.

Insiden tersebut, menurut MCMC bukan sahaja menjejaskan keselamatan fasiliti awam malah turut memberi kesan kepada kelangsungan operasi harian NADI serta penyampaian perkhidmatan kepada komuniti setempat.

Dalam pada itu, MCMC turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Johor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, atas tindakan pantas menahan suspek. 

“Penahanan suspek ini merupakan hasil penyelarasan operasi dan perkongsian maklumat yang berkesan antara PDRM Kontinjen Johor, khususnya JPJKK Johor dan IPD Pontian bersama MCMC dan pengurusan NADI.

“Tindakan bersepadu ini membolehkan siasatan dijalankan dengan pantas serta mengenal pasti pola kejadian pecah masuk yang berlaku secara berulang di beberapa lokasi NADI di Johor, sekali gus mengekang risiko berterusan terhadap keselamatan fasiliti awam dan operasi perkhidmatan komuniti,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan