Imigresen Tahan 171 Pendatang Asing Dalam Serbuan Di Semenyih Dan Kajang

08/01/2026 04:35 PM

PUTRAJAYA, 8 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 171 pendatang tanpa izin dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang menyasarkan kawasan industri dan tapak pembinaan di sekitar Semenyih dan Sungai Long, Kajang semalam selepas dikesan menggaji pekerja tanpa permit sah.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata sebanyak 216 individu terdiri daripada 189 warga asing dan 27 rakyat tempatan telah diperiksa dalam serbuan yang dijalankan berdasarkan aduan awam dan risikan oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM selama dua minggu. 

"Kesemua 171 individu ditahan itu terdiri daripada warganegara Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia berusia antara 29 hingga 50 tahun.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata agensi penguat kuasa lain turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM15,000 dan satu saman RM500 terhadap syarikat terbabit atas kesalahan di bawah Seksyen 30(1)(b) Akta Syarikat 2016 dan Kaedah 17A(2) Peraturan Pendaftaran Perniagaan 1957.

"Semasa operasi itu, lima Borang 29 (Saman kepada Saksi) turut dikeluarkan kepada rakyat Malaysia bagi membantu siasatan,” katanya.

Kesemua warga asing ditahan kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Operasi berkenaan, katanya melibatkan 110 pegawai pelbagai pangkat selain dibantu pegawai daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Tenaga Kerja.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan