MELAKA, 8 Jan (Bernama) -- Polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan kejadian rusuhan di kawasan Melaka Raya pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kesemuanya yang berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan selepas polis menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira 4 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada provokasi dan salah faham melibatkan empat individu, sebelum kekecohan itu menarik perhatian orang awam yang berada di lokasi sehingga berlakunya rusuhan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata polis turut merampas sepucuk pistol disyaki tiruan daripada seorang lelaki ditahan dan telah merekodkan keterangan daripada 12 saksi untuk membantu siasatan kes itu.
Christopher turut mengesahkan tiada sebarang bunyi letupan senjata sewaktu kejadian itu berlaku, sekali gus menyangkal dakwaan yang tular menerusi media sosial kononnya berlakunya tembakan serta penemuan dua kelongsong peluru di tempat kejadian.
Beliau berkata hasil siasatan lanjut mendapati kejadian itu disebabkan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan lagu sewaktu sedang berhibur.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 506 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya sambil menasihati orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sah kerana boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial