KUALA TERENGGANU, 4 Feb (Bernama) -- Sebanyak 12 penyokong Selangor FC didakwa di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dan positif dadah, Isnin lepas.
Kesemua individu itu mengangguk faham ketika semua pertuduhan tentatif dibacakan secara berasingan dan tiada pengakuan direkodkan daripada mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak dan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Muhammad Amirul Izham Anuwa, 26, didakwa atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis (1.12 gram berat kasar) dan nimetazipam (0.37 gram berat kasar) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 9.30 malam, 2 Feb lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 12 (2) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara boleh sampai lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Iffah Nabihah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan patologi.
Di mahkamah sama, Muhamad Amirul Izham bersama lima lagi iaitu Akmal Haqim Amir Hamzah, 25; Asyraaf Syazwan Azman, 25; Mohamad Alif Aiman Abdullah, 26; Muhammd Akmal Hakim Abd Aziz, 29; dan Adam Hakimi Misra, 20, menghadapi pertuduhan memasukkan ke dalam badan masing-masing dadah disyaki jenis tetrahydrocannabinol (THC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada tarikh sama antara 2.55 pagi hingga 3.45 pagi.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, serta perintah pengawasan antara dua dan tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan mereka diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 10 Mei untuk sebutan semula kes bagi Muhammad Amirul Izham manakala 5 dan 6 April untuk sebutan semula kes bagi lima lagi tertuduh sementara menunggu laporan patologi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ely Nazihah Ahmad Yunus manakala semua lelaki itu diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nur Wahidah Kamilah Razalli.
Di hadapan Noor Mazrinie, enam lagi penyokong Selangor FC didakwa memasukkan dadah ke dalam badan masing-masing pada hari sama.
Mereka ialah Ziyad Zulkifli, 26; Ahmad Naqiuddin Ahmad Nordzri, 29; Muhammad Afiq Haikal Gunawan, 27; Muhamad Asyraf Azli, 25; Muhamad Syafiq Junaedi, 27; dan Mohamad Shafirul Hisham Hassan, 26.
Berdasarkan pertuduhan, Muhamad Asyraf didakwa memasukkan ke dalam badannya dadah jenis methamphetamine manakala lima lagi tertuduh dadah jenis THC di IPK Terengganu antara 12.30 tengah malam hingga 3.31 pagi mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.
Mahkamah membenarkan kesemua lelaki itu diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 April ini untuk sebutan semua kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Anith Nabila Rusli manakala semua tertuduh diwakili peguam daripada YBGK.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin pada Isnin berkata sebanyak 33 penyokong Selangor FC direman atas kesalahan memiliki dan positif dadah, selain mengganggu tugas penjawat awam berhubung kekecohan yang berlaku di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada Ahad.
Kejadian kira-kira 6.30 petang Ahad itu berlaku sebelum perlawanan Liga Super membabitkan Terengganu FC menentang Selangor FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, pada malam hari sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial