Insiden Tertembak: Tan Lek Khang Sudah Sedar, Masih Lemah

10/05/2026 06:39 PM

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 10 Mei (Bernama) -- Bekas Ketua Bersekutu Bersatu Johor Datuk Tan Lek Khang yang cedera parah dipercayai selepas tertembak diri sendiri di bahagian dada pada 28 April lepas, sudah sedarkan diri semalam. 

Perkara itu disahkan rakan beliau yang juga bekas ketua penerangan sayap parti itu, Peter Khoo Kong Ek ketika dihubungi Bernama.

“Beliau sudah sedarkan diri tetapi masih lemah… sudah boleh bercakap sedikit,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata Tan yang masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini mungkin perlu menjalani satu lagi pembedahan susulan.

Tan yang juga ahli perniagaan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan selepas menjalani pembedahan selama empat jam bagi mengeluarkan peluru. 

Sebelum ini, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata Tan dipercayai tertembak diri sendiri ketika mengosongkan peluru daripada pistol miliknya selepas sesi latihan menembak di Lapangan Sasar Ladang Rem di Kota Tinggi.

Tan mempunyai lesen senjata api yang sah sejak 2022 untuk tujuan keselamatan diri serta sukan menembak.

Sembilan saksi yang berada di lokasi kejadian juga telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan, termasuk lima pengawal peribadi, anak tiri mangsa berusia 19 tahun, jurulatih serta dua rakan mangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan