Seorang Lelaki Maut Ditembak Di Skudai, Dua Suspek Diburu

10/05/2026 02:11 PM

ISKANDAR PUTERI, 10 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan maut ditembak di hadapan sebuah premis pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai, dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M. Kumarasan berkata pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira 11 malam daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun. 

Beliau berkata mangsa yang juga 27 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tembakan itu.

“Kejadian juga menyebabkan seorang lagi lelaki tempatan 27 tahun cedera akibat terkena tembakan.

“Polis mempercayai terdapat seorang lagi mangsa cedera, namun telah dibawa keluar oleh kenalannya selepas kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumarasan berkata polis kini memburu dua suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan meminta mangsa yang cedera tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan ASP Afiq Izani menerusi talian 019-3683036 atau Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri 07-5113622 atau hotline 07-5114486.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan