Barang Kes Terbakar Di IPD Kuala Pilah

10/05/2026 06:18 PM

KUALA PILAH, 10 Mei (Bernama) -- Sebuah lori yang merupakan barang kes bagi siasatan kemalangan maut telah terbakar dalam kejadian di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Muhamad Mustafah Hussin berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 2.45 pagi tadi daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Kuala Pilah.

Beliau berkata anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah tiba di lokasi pada 3.05 pagi tadi bagi menjalankan operasi pemadaman dan selesai kira-kira 20 minit kemudian.

Punca kebakaran belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut pihak forensik bomba sedang dijalankan.

"Lori itu dan dua kenderaan lain ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), bagaimanapun lori berkenaan terpaksa diletakkan di luar kawasan kompaun IPD kerana faktor saiz dan kesesuaian lokasi simpanan.

"Lori itu merupakan barang kes kemalangan jalan raya yang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kenderaan itu terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, dan membabitkan dua lagi kenderaan sehingga mengakibatkan seorang mangsa meninggal dunia pada 16 April lepas.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan jika mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kuala Pilah menerusi talian 06-4842999 atau Pegawai Penyiasat Jenayah Insp Supiah Ishak melalui talian 019-9933978.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan