KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Pihak pendakwaan memfailkan permohonan untuk melucut hak sebuah kenderaan jenama Range Rover Sport SVR dan barangan kemas yang disita daripada isteri kepada bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Salwani Anuar @ Kamaruddin.
Pendakwa raya selaku pemohon memfailkan notis permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Mei lepas dengan menamakan Salwani, 27, sebagai responden.
Berdasarkan notis itu, pendakwa raya memohon agar sebuah kenderaan Range Rover Sport SVR dan seutas gelang emas 916 seberat 15.10 gram serta tiga bentuk cincin emas masing-masing seberat 1.33gram, 1.41gram dan 1.35 gram dilucut hak kepada kerajaan.
Turut dipohon dilucutkan hak ialah sepasang subang emas seberat 6.640 gram dianggarkan bernilai RM10,930 yang disita daripada responden.
Menurut notis tersebut, harta-harta alih itu disita di bawah Seksyen 45 (2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan kini berada dalam simpanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Pendakwa Raya Natrah Fareha Rahmat memberitahu pemberita bahawa pada prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Zaridah Y Abdul Jaapar hari ini, mahkamah menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan kes itu.
Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan kepada mahkamah pihak pendakwa raya memfailkan permohonan untuk melucut hak 23 utas jam tangan mewah jenama Rolex dan 15 barang kemas yang disita daripada adik ipar Muhammad Hafizuddeain, Nor Shahira Atirah Anuar @ Kamaruddin.
Mahadi berkata pihaknya juga memohon perintah daripada mahkamah untuk menyiarkan warta bagi memanggil mana-mana orang yang mempunyai kepentingan terhadap harta berkenaan hadir ke mahkamah, mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.
Peguam Aizul Rohan Anuar berkata pihaknya tidak membantah permohonan yang difailkan oleh pemohon.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan kes bagi kehadiran pihak ketiga.
Pada 4 Mei lepas, pendakwa raya selaku pemohon memfailkan notis itu terhadap Nor Shahira Atirah, memohon supaya 23 utas jam tangan mewah itu dan 15 barang kemas yang disita daripada responden dilucutkan hak kepada kerajaan.
Permohonan itu dibuat atas alasan pendakwa raya di bawah kuasa-kuasa yang diberi oleh Seksyen 41(1) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah berpuas hati bahawa harta alih yang disita oleh SPRM dilucutkan hak, iaitu tiada pendakwaan jenayah atas suatu kesalahan di bawah akta itu.
Dakwa pemohon, harta berkenaan diperoleh hasil daripada atau berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial