Lelaki Melecur Akibat Letupan Disyaki Kebocoran Gas LPG

03/06/2026 09:41 PM

ALOR GAJAH, 3 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki melecur kira-kira 50 peratus pada anggota badan selepas terkena letupan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas petroleum cecair (LPG) di rumahnya di Taman Baiduri, Kuala Ina di sini hari ini.

Ketua Zon 2 merangkap Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan CBRNe Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.26 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki berusia 29 tahun yang juga penyewa rumah berkenaan mengalami kecederaan selepas berlaku letupan secara tiba-tiba di bahagian dapur rumah itu.

“Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) JBPM memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan dibawa ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkhairani berkata sebelum kejadian, mangsa yang difahamkan baru pulang dari kampungnya di Pahang, mendengar bunyi dipercayai berpunca daripada kebocoran gas di dalam rumah dan membuat pemeriksaan terhadap tong gas memasak.

Beliau berkata ketika mangsa melakukan pemeriksaan, berlaku satu letupan secara tiba-tiba yang menyebabkannya mengalami kecederaan melecur dan kerosakan serius pada rumah berkenaan.

“Letupan itu menyebabkan kerosakan pada bahagian bumbung rumah selain menjejaskan struktur bangunan, termasuk pintu, tingkap, siling dan pendawaian elektrik.

“Operasi pemantauan dan pemeriksaan keselamatan turut dijalankan bagi memastikan tiada risiko kebocoran gas susulan selain membantu siasatan berhubung kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian disyaki berpunca daripada kebocoran gas LPG yang terkumpul di dalam rumah sebelum berlaku letupan dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kejadian.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan