DUNGUN, 3 Jun (Bernama) -- Seorang pelatih di sebuah pusat latihan kemahiran di Kuala Terengganu ditemukan lemas ketika mandi bersama lima rakannya di Air Terjun Chemerong, Hulu Dungun di sini hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) Pegawai Bomba Kanan II Osman Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira 1.30 tengah hari dan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.49 tengah hari.
“Mangsa, Wan Shafuan Irfan Wan Harun, 19, dipercayai secara tiba-tiba terkapai-kapai di dalam air dan rakan-rakannya cuba membantu menyelamatkannya.
“Usaha menyelamatkan mangsa gagal dan rakan-rakannya kemudian meminta bantuan pengunjung yang berada di kawasan itu sebelum menemukan mayat mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata enam anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa telah ditemukan lemas oleh orang awam dan pasukan bomba kemudian membawa mayat ke darat sebelum menghubungi pasukan perubatan bagi mengesahkan kematian mangsa.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun DSP Jumaidy Bah Chong Weh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.
Beliau berkata mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, seorang rakan mangsa, Muhd Izzul Faqhriey Mohd Khairiamizan, 18, berkata dia juga hampir lemas ketika cuba menyelamatkan Wan Shafuan Irfan.
"Irfan (Wan Shafuan Irfan) menarik tangan saya hingga saya hampir lemas sebelum pengunjung lain membaling pelampung ke arah saya. Selepas itu saya dapati dia telah hilang," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Dungun.
Muhd Izzul Faqhriey berkata dia bersama Wan Shafuan Irfan serta dua lagi rakan mereka tiba di kawasan rekreasi itu pada 1 tengah hari.
"Irfan menyatakan hasrat untuk belajar berenang dengan seorang daripada rakan kami itu sebelum dia dilihat terkapai-kapai dan lemas," katanya.
Menurut Muhd Izzul Faqhriey, Wan Shafuan Irfan mengajaknya ke kawasan rekreasi itu untuk meluangkan masa bersama rakan-rakan memandangkan dia akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada minggu hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial