DUNGUN, 6 Jun (Bernama) -- Wanita yang cedera putus kaki kiri dalam kemalangan di Kilometer 341.5 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka, di sini semalam disahkan meninggal dunia malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun DSP Jumaidy Bah Chong Weh berkata polis menerima laporan mangsa, Maziah Che Hassan, 57, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Dungun pada 7.15 malam.
Beliau berkata mangsa yang menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 bersama empat individu lain terlibat dalam kemalangan tersebut pada 5.15 petang ketika dalam perjalanan menghala ke Kuantan, Pahang selepas menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Berang, Hulu Terengganu.
"Pemandu kenderaan berkenaan dipercayai terlelap semasa memandu menyebabkan ia hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum melanggar penghadang jalan.
"Akibat pelanggaran tersebut, kenderaan berpusing beberapa kali dan tersangkut pada penghadang jalan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemandu serta tiga lagi penumpang yang turut mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Dungun dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam Bernama melaporkan seorang wanita cedera putus kaki kiri dari paras lutut selepas SUV dinaiki terbabas di lokasi kemalangan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial