FOKUS BERNAMA

Kuah Pembuat Batu Nisan Untuk Orang Islam

29/01/2019 04:47 PM

Oleh Azman Firdaus Azizan

KUALA SELANGOR (Bernama) --  “Batu granit keras dan hidup berbeza dengan batu kapur yang lembut”. Ini adalah kata-kata seorang pengukir batu nisan berketurunan Cina yang penulis temui baru-baru ini di sebuah pekan lama Kuala Selangor.

Penulis bukan sahaja hairan dengan kata-kata pengukir nesan berusia 63 tahun itu tetapi hakikat batu nisan itu adalah untuk pelanggannya orang Melayu dan tulisannya yang diukir di atas batu nisan itu adalah tulisan jawi.

“Saya belajar tulisan jawi ini daripada pelanggan-pelanggan saya, “ kata Kuah Leong Chuan kepada Bernama dalam wawancara baru-baru ini.

Kuah sebenarnya berasal daripada keluarga pengukir dan beliau adalah generasi kelima meneruskan warisan keluarga.  

Moyangnya berasal dari China dan berhijrah ke negara ini lewat tahun 1800 untuk berniaga. Di samping itu moyangnya juga menggunakan kemahiran untuk mengukir dan pada permulaannya lebih kepada mengukir patung buddha atau tempat sembahyang penganut Buddha.

BELAJAR DARI BAPA

Menurut Kuah beliau belajar teknik mengukir batu nisan ini daripada bapanya. Ketika itu beliau berusia dalam lingkungan 20 tahun.  Sepanjang 40 tahun terlibat dalam bidang mengukir batu nisan ini, beliau juga mengukir batu nesan untuk orang Cina dan India, namun kini tumpuan beliau lebih kepada pelanggan orang Melayu.

Bengkel membuat nisan Kuah ini hanyalah di bawah sebatang pokok di tepi kawasan belukar bertentangan pekan lama Kuala Selangor (berhampiran Bukit Melawati). Rumah Kuah tidak jauh daripada bengkel dan setiap hari beliau berbasikal ke bengkelnya. Beliau akan berada di bengkelnya dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Paling menyenangkan kerja Kuah ialah beliau dengan mudah boleh mendapatkan bekalan batu granit untuk membuat batu nisan dari kawasan belukar sekeliling bengkelnya.

Satu perkara yang unik tentang teknik mengukir Kuah ialah beliau mengukir batu nisan dengan menggunakan tangan berbanding dengan ramai pengukir batu nisan lain yang menggunakan mesin. 

Beliau juga mungkin satu-satunya pengukir batu nisan menggunakan batu granit dengan tangan.

PROSES BUAT BATU NISAN

Proses pertama untuk membuat batu nisan menggunakan batu granit ni ialah dengan memotong batu-batu granit yang dengan mudah boleh diperolehi daripada kawasan berhampiran bengkel beliau.

“Ada caranya potong batu serupa juga kalau orang mahu bukak buah durian, “ jawab beliau ketika ditanya proses untuk membuat batu nisan.

Menurut Kuah, batu granit tersebut dipotong dengan pahat yang bermatakan berlian tetapi “bukanlah berlian yang dibuat barang kemas. Beliau itu khas untuk memotong batu yang sangat keras.”

Selepas itu, batu akan dibelah dan diukur mengikut kehendak pelanggan. Siap diukir dan digosok (mengikut permintaan pelanggan), berikutnya adalah proses mengukir dan memahat maklumat yang hendak dipaparkan di atas batu nisah menggunakan tulisan jawi.

Kuah sememangnya mementingkan hasil kerja yang teliti dan sebab itulah beliau lebih selesa menggunakan tangan berbanding mesin.

Tempoh proses membuat batu nisan ini adalah mengikut saiz atau kehendak pelanggan. Batu nisan kecil bersaiz 2 kaki mengambil masa tiga hari dan kalau yang besar mengambil masa tiga minggu. Harga pula mengikut saiz bermula dari RM 150 sepasang sehingga RM 700.

Pelanggannya datang dari seluruh Malaysia dan ada juga pekerja Indonesia yang bekerja di Malaysia mendapatkan batu nisan granit daripada beliau.

Proses mengukir dan menulis nama atau informasi simati  pada batu nisan mengambil masa satu jam. Antara maklumat yang diukir di atas batu nisan ialah perkataan Al-Fatihah serta maklumat si mati iaitu nama, tarikh lahir dan tarikh meninggal.

AMBIL BERAT

Kuah juga tahu apa yang boleh dan tidak boleh diukir di atas batu nisan seperti ayat  Al-Quran. Beliau tidak akan mengukir ayat Al-Quran meskipun diminta oleh keluarga si mati.

Beliau bimbang keluarga si mati terlangkah atau duduk di batu nisan yang ada tulisan ayat Al-Quran. Ada juga yang mahu beliau mengukir perkataan “Bismillah” tetapi Kuah berkeras untuk tidak mengukirnya kerana takut akan disalahkan suatu hari nanti.

"Batu nisan ini hanyalah satu tanda sahaja bukan untuk bikin rumah cantik yang mewah. “ Itulah kata-kata yang sering digunakan sekiranya ada pelanggan yang mahu beliau mengukir perkataan Bismillah.

Salah satu keistimewaan batu granit ini ia “boleh membesar”. Kuah hanya perlu melicinkan bahagian atas nisan sahaja itupun atas permintaan pelanggaan.

Bahagian yang kasar ini akan memegang tanah dan akan kukuh buat masa yang lama, berbeza batu nisan yang diperbuat dari batu kapur yang licin dan senang tercabut dari tanah.

“Tinggal saya satu orang sahaja, budak muda sekarang tak minat , mereka minat duduk di kedai ada penyaman udara dan ada televisyen. Tengok program hiburan, “ bila ditanya sama ada beliau mempunyai sesiapa untuk mewarisi perusahaan batu nisan beliau.

Kuah mungkin merupakan pengukir batu nisan granit yang menggunakan tangan yang terakhir di Malaysia. Untuk itu beliau sudi untuk menerima sesiapa sahaja untuk mempelajari seni ukir ini supaya tidak hilang ditelan zaman.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff  

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan