EKONOMI

SABAH MINAT JALIN KERJASAMA DENGAN WIEF UNTUK TINGKATKAN PELABURAN

07/03/2019 08:13 PM

KOTA KINABALU, 7 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah berminat untuk menjalin kerjasama dengan Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) untuk meningkatkan pelaburan di negeri itu dan mengembangkan rangkaian perniagaan globalnya.

Pengerusi WIEF Tun Musa Hitam berkata hasrat itu telah diutarakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri itu di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri melihat hubungan baik WIEF dengan komuniti perniagaan dan pelaburan dari seluruh dunia sebagai satu kelebihan yang dapat meningkatkan perdagangan dan pembangunan ekonomi Sabah.

"Dia (Mohd Shafie) nampaknya sangat berminat untuk berkerjasama dengan WIEF,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan itu.

Musa berkata Sabah mempunyai banyak sumber yang boleh digunakan untuk menarik pelabur, dan WIEF bersedia untuk membantu kerajaan negeri menjalinkan hubungan dengan komuniti perniagaan dan pelaburan di seluruh dunia.

WIEF ialah sebuah organisasi yang bermatlamat meningkatkan kesejahteraan ekonomi negara-negara Islam dengan menggalakkan peluang perdagangan dan perniagaan, bukan sahaja dalam kalangan mereka bahkan di seluruh dunia melalui penganjuran forum dan persidangan di seluruh dunia.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan