Oleh Siti Fauziah Hasan
Pertama daripada artikel dua bahagian mengenai usaha Jabatan Warisan Negara (JWN) dalam memelihara makanan tradisional agar tidak pupus ditelan masa.
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pastinya ramai yang pernah makan atau sekurang-kurangnya tahu bahawa ondeh-ondeh, sata, putu piring, lemang, pajeri, gulai tempoyak, otak-otak, pekasam dan nasi kerabu adalah sebahagian daripada makanan tradisional negara ini.
Kita bernasib baik kerana pelbagai makanan itu masih boleh dinikmati sama ada di majlis-majlis keraian, musim perayaan, malah ada yang mengusahakan secara komersial.
Hakikatnya terdapat ratusan jenis makanan tradisional di negara ini. Antaranya jarang ditemui seperti opok-opok, buah tanjung, emas sejemput, lawa terung, umai, masak lemak mumbang, emping, sambal tahun, gulai lemak umbut dan banyak lagi. Masing-masing dari kaum, negeri dan latar belakang berbeza.
Zaman berubah, begitu juga cita rasa manusia. Jadi, tidak hairanlah jika generasi muda kini tidak mengenali makanan warisan yang pernah menjadi kegemaran nenek moyang, mungkin juga ibu bapa kita suatu ketika dahulu.
Ekoran cita rasa golongan muda yang lebih menjurus kepada makanan moden ditambah pula semakin kurang individu yang boleh menyediakan hidangan tradisional, banyak makanan tradisional kian dilupai.
Justeru, Jabatan Warisan Negara (JWN) sehingga kini mengisytiharkan 213 jenis makanan tradisional di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), agar tidak pupus ditelan masa.
MENJEJAKI MAKANAN WARISAN
Timbalan Ketua Pengarah JWN, Mohamad Muda Bahadin berkata ketupat sotong, nasi minyak dan nasi dagang adalah antara makanan yang dimasukkan dalam senarai berkenaan.
“Akta ini menguatkuasakan peruntukan untuk pemuliharaan dan pemeliharaan Warisan Kebangsaan, warisan semulajadi, warisan ketara dan tidak ketara, warisan kebudayaan di bawah air dan harta karun serta perkara yang berkaitan,” katanya kepada Bernama.
JWN mentakrifkan warisan sebagai sesuatu yang diwarisi daripada generasi terdahulu. Ia dianggap sebagai khazanah negara, yang pernah atau sedang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat atau manusia sejagat yang menjadi tanggungjawab bersama untuk dilindungi dan dikekalkan.
Makanan warisan boleh dianggap sebahagian daripada budaya bangsa yang perlu dipertahankan agar sentiasa relevan dan diingati oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini, terutamanya generasi muda.
Mohamad Muda berkata, JWN melakukan pelbagai usaha termasuk menjelajah ke pelosok tanah air bagi menjejaki suri rumah, pengusaha komersial dan generasi tua yang masih menghasilkan makanan warisan.
BUNGKUS DAN KUKUS
“Para pegawai dan penyelidik JWN membuat kajian dan inventori berhubung makanan tradisional yang diperturunkan sejak zaman nenek moyang kita dan kini menjadi identiti sesebuah masyarakat.
“Makanan warisan ini direkod dari semua sudut seperti gambar, video, nama makanan, cara pembuatan, penyimpanan dan perayaan atau sambutan yang berkaitan penyediaan makanan tersebut,” jelas Mohamad Muda.
Makanan tradisional, tambah beliau, diperkenalkan kepada umum dan pelancong melalui demonstrasi pembuatan, bengkel penyediaan makanan warisan, acara rasmi kerajaan dan jualan melalui program jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan lain.
Beliau memberi contoh, Hari Kraf Kebangsaan 2019 di mana JWN mengetengahkan “Masakan Warisan Malaysia Bungkus dan Kukus”, termasuk demonstrasi beberapa masakan makanan berkenaan.
“Antaranya adalah ketupat dakap iaitu pulut yang dibungkus dengan daun pisang dan dikukus, ketupat palas - pulut yang dibungkus dengan daun palas dan dikukus, pulut kuning yang dikukus, dan pelbagai masakan seperti lopes, buah melaka dan sebagainya yang mendapat sambutan hangat para pengunjung termasuk dari luar negara,” katanya.
PELBAGAI ETNIK KONGSI SELERA
Mohamad Muda turut berkata setiap kumpulan etnik memiliki warisan makanan tersendiri yang beraneka rupa, warna dan rasa. Lebih menarik, masing-masing mempunyai sejarah masakan tersendiri yang boleh dikongsi bersama.
“Sebagai contoh, nasi lemak asalnya merupakan hidangan sarapan yang terkenal dalam kalangan etnik Melayu tetapi kini menjadi pilihan semua etnik, bukan sahaja untuk sarapan malah tengah hari dan malam,” katanya.
Tambah beliau, makanan daripada etnik lain seperti dim sum, mi, kuetiau dan sebagainya yang asalnya merupakan makanan kegemaran etnik Cina, kini menjadi kegemaran masyarakat Melayu, India dan etnik lain.
Malah, makanan etnik dari Sabah dan Sarawak seperti umai, linut dan manok pansuh juga semakin diterima oleh masyarakat lain di seluruh negara yang secara tidak langsung menyumbang kepada perpaduan sosial.
(Umai - isi ikan mentah yang dihiris halus dicampur beberapa bahan lain serta perahan limau; linut - makanan dibuat daripada tepung rumbia; manok pansuh - ayam yang dimasak dalam buluh).
Mohamad Muda berkata majlis perayaan besar di negara ini seperti Rumah Terbuka Malaysia yang disambut bersama turut menghidangkan makanan warisan pelbagai kaum.
IKTIRAF MAKANAN WARISAN
Sementara itu, Pengarah Bahagian Warisan Dunia JWN Mohd Syahrin Abdullah memberitahu bahawa JWN dalam perancangan dan penyelidikan untuk mendapatkan pengiktirafan makanan warisan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Tambahnya, makanan merupakan satu daripada elemen warisan tidak ketara (WTK) dan boleh dicalonkan untuk pengiktirafan di bawah UNESCO yang dikenali sebagai Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity di bawah Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage 2003.
Beberapa kriteria perlu dipatuhi sebelum makanan warisan dapat diiktiraf UNESCO iaitu memastikan visibiliti dan kesedaran mengenai signifikan warisan berkenaan serta boleh mengalakkan sesi dialog yang mencerminkan kepelbagaian kebudayaan di peringkat dunia dan kreativiti manusia.
Pencalonan itu dilaksanakan oleh pihak JWN yang merupakan State Party bagi Malaysia untuk konvensyen berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Syahrin berkata bagi mendapatkan kelulusan untuk ke UNESCO, borang pencalonan yang dikemukakan akan dinilai oleh Badan Penasihat yang dipilih oleh sekretariat UNESCO.
Keputusan akhir akan diumumkan semasa sesi jawatankuasa antara kerajaan bagi melindungi Warisan Budaya Tidak Ketara (Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGH - ICH), dianggotai 24 ahli jawatankuasa dari 24 buah negara anggota yang biasanya bersidang pada bulan November atau Disember setiap tahun.
“Sekiranya sesebuah elemen WTK berjaya diiktiraf sebagai Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity, maka akan diberikan sijil pengiktirafan yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah UNESCO,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata JWN memang berhasrat mengemukakan makanan warisan lain seperti Malaysian Breakfast (Nasi Lemak, Roti Canai dan Teh Tarik) serta Yee Sang di bawah “Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity” untuk pencalonan akan datang.
________________________________________________________________
RUANG SISI
SENARAI 208 MAKANAN WARISAN KEBANGSAAN 2005 (AKTA 645)
1 Air Janda Pulang
2 Gula Tarik/Sema
3 Kelamai/Gelamai Tepung Gandum
4 Ketupat Sotong
5 Kuih Bongkong/Jongkong
6 Kuih Tahi Itik
7 Kuih Tepung Torak
8 Sambal Hitam Ikan Bilis
9 Kuih Badak Kubang
10 Aiskrim Malaysia
11 Pulut Mangga
12 Sambal Tahun
13 Bingka/Bengkang Sawit
14 Kuih Cek Mek Molek
15 Cucur Jawa/Cucur Topi/Kuih Penyaram
16 Kuih Angku/Kuih Peria
17 Opor Daging
18 Nasi Minyak
19 Pulut Durian
20 Kelupis
21 Nasi Dalam Buluh
22 Sup Tulang
23 Ubi Gadong Parut Masak Dalam Buluh
24 Ikan Rebus Kering
25 Ikan Cencaru Sumbat
26 Sayur Midin Goreng
27 Masak Lemak Mumbang
28 Masak Lemak Kulat Sisir
29 Bubur Lambuk
30 Bubur Nasi/Nasi Air
31 Bubur Anak Lebah
32 Ais Kepal
33 Emping
34 Kek Lapis Sarawak
35 Jala Emas
36 Kuih Ros
37 Kuih Kole Kacang
38 Kuih Bangkit
39 Kasui
40 Emas Sejemput
41 Buah Tanjung
42 Tepung Pelita
43 Lompat Tikam
44 Kuih Siput
45 Pau
46 Kuih Getas
47 Kuih Kasidah
48 Inang-Inang
49 Tebaloi
50 Kerepek
51 Celorot
52 Kuih Ketayap
53 Solok Lada
54 Solok Ikan
55 Kebebe
56 Air Nira
57 Durian
58 Rempeyek
59 Puding Raja
60 Pengat
61 Ganti Tandan Jagung
62 Apam
63 Apom
64 Kuih Pepena
65 Tau Fu Fa
66 Bubur cha-cha
67 Pulut Tekan dengan Seri Kaya
68 Popia
69 Pie Tee
70 Ambuyat/Pinantung
71 Tompe’/Tinompeh
72 Nonsom Bambangan
73 Tuak
74 Rojak
75 Kuih Rengas
76 Ubi Kayu Rebus dan Sambal Tumis
77 Putu Piring
78 Murtabak
79 Capati
80 Choonpiah
81 Jemput-Jemput
82 Itik Golek
83 Umbut Rebus
84 Sambal Biji Getah
85 Gulai Masam Keladi Kemahang
86 Sambal Tempoyak Daun Kayu
87 Pindang
88 Sotong Sumbat
89 Rendang Campur
90 Kari Kapitan
91 Sup Belut
92 Nasi Kebuli
93 Sambal Rong
94 Sambal Goreng
95 Tauge dan Tauhu Masak Lemak
96 Lawa Terung
97 Lompap Daging dan Hati
98 Ayam Pong Teh
99 Ayam Masak Buah Keluak
100 Jantung Pisang
101 Gerang Asam
102 Budu
103 Ambila
104 Asam Rebus
105 Tempe
106 Keema
107 Tauhu
108 Inche Kabin
109 Kari Devil
110 Nasi Lemak
111 Nasi Ayam
112 Nasi Kunyit
113 Nasi Tumpang
114 Nasi Kerabu
115 Nasi Dagang
116 Nasi Himpit
117 Nasi Goreng
118 Nasi Ulam
119 Ketupat
120 Lemang
121 Pulut Kukus Dalam Periuk Kera
122 Mi Mamak
123 Laksa Asam
124 Mi Kari
125 Char Kuay Teow Pulau Pinang
126 Laksa Johor
127 Bubur Pedas Sarawak
128 Bubur Asyura
129 Bubur Sum-Sum
130 Bubur Kacang Hijau
131 Sagu
132 Kuih Bingka Ubi
133 Rendang
134 Serunding
135 Ayam Percik
136 Manok Pansoh
137 Masak Asam Pedas
138 Gulai Tempoyak Ikan Patin
139 Ikan Bakar
140 Masak Ikan Tanah Liat
141 Gulai Lemak Umbut
142 Gulai Lemak Lada Padi
143 Gulai Asam Rom
144 Kari Kepala Ikan
145 Kurma daging
146 Pajeri
147 Masak ikan dan pisang dalam buluh
148 Yong Tau Foo
149 Daging Dendeng
150 Ayam Panggang
151 Botok-botok ikan
152 Sambal tumis
153 Ketam berlada
154 Teh tarik
155 Cendol
156 Air batu campur (ABC)
157 Air kelapa
158 Air selasih
159 Hinava/Umai
160 Pekasam
161Tempoyak
162 Otak-otak
163 Sambal belacan
164 Cencaluk
165 Sambal gesek ikan bilis
166 Sate atau Satay
167 Yee sang
168 Sata
169 Telur pindang
170 Kerabu mangga muda
171 Acar buah
172 Kuih keria
173 Kuih koci
174 Akok
175 Kuih seri muka
176 Kuih cara
177 Kuih bingka
178 Kuih bakul
179 Kuih bulan
180 Kuih cincin
181 Kuih bakar
182 Kuih sepit
183 Apam balik
184 Pisang goreng
185 Keropok
186 Opok-opok
187 Karipap
188 Buah melaka atau ondeh-ondeh
189 Lempeng
190 Bahulu
191 Dodol
192 Lempuk durian
193 Wajik
194 Seri kaya
195 Halwa
196 Agar-agar sakar
197 Pulut panggang
198 Tapai
199 Masalodeh
200 Putu mayam
201 Muruku
202 Roti jala
203 Roti canai
204 Tosai
205 Penderam
206 Kuih lopis
207 Laddu
208 Ubi kayu
209 Puding Raja
210 La-tiang
211 Halwa Sukun
212 Wajik Sirat
213 Wajik Ubi Kayu
Disunting oleh Sarimah Othman
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial