EKONOMI

100 PELAJAR UNIVERSITI SERTAI PROGRAM MOE-INTEL ELITE INTERNSHIP

14/06/2019 02:49 PM

PUTRAJAYA, 14 Jun (Bernama) -- Seramai 100 pelajar dari enam universiti awam terpilih untuk menjalani latihan selama dua bulan menerusi program ‘MOE-Intel Elite Internship’ yang akan memberi pendedahan kepada mereka mengenai perisian reka bentuk cip yang mengikuti standard industri.

Program yang akan bermula 24 Jun ini melibatkan pelajar dari Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika melancarkan program itu di sini hari ini berkata program itu diadakan pada masa yang tepat kerana keperluan untuk jurutera elektronik sangat penting untuk selari dengan Revolusi Industri 4.0, yang menekankan automasi elektronik.

“Saya ingin menggesa semua pelajar untuk merebut peluang keemasan ini dan menguasai pemindahan pengetahuan dalam industri. Inilah masanya untuk pelajar meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Program itu juga menyediakan latihan kepada 12 pensyarah dari enam universiti terlibat menerusi program lawatan anggota fakulti untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan industri mengenai reka bentuk silikon, katanya.

Menurut Maszlee, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif baharu oleh Jabatan Pendidikan Tinggi dikenali sebagai ‘Academia Industry Expert Exchange Program’ bertujuan berkongsi kepakaran dua hala dan untuk mempromosikan pemahaman yang lebih mendalam terhadap keperluan dan jangkaan akademik dan industri.

“Dengan program seperti ini, graduan daripada bidang elektronik atau mikroelektronik boleh diserap terus ke dalam industri,” katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan