AM

Pemandu mabuk perlu dikenakan hukuman yang lebih berat- PDRM

25/01/2020 01:29 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jan -- Hukuman lebih berat perlu dikenakan kepada mana-mana  individu yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Azisman berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dengan Kementerian Pengangkutan serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam masa terdekat.

“Perbincangan dari sudut perundangan akan dibuat dan saya percaya masyarakat juga mengalu-alukan perkara ini,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini hari ini ketika mengulas tentang peningkatan kes kemalangan maut melibatkan individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol. 

Mengikut undang-undang sedia ada individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara tidak lebih 12 bulan.

Azisman berkata polis sentiasa memantau tentang perkara itu kerana ia bukan sahaja membahayakan nyawa pemandu itu sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

Sementara itu, Skuad 42 dari Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di seluruh kontinjen akan melaksanakan operasi besar-besaran bagi membanteras aktiviti samseng jalanan atau ‘Mat Rempit’.

“Untuk menangani samseng jalanan ini, kita akan dakwa mereka di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman lebih berat iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun serta didenda maksimum sehingga RM15,000,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan