KUALA LUMPUR, 28 Mei – Umat Islam di negara ini boleh melakukan semakan berhubung arah kiblat yang tepat di premis masing-masing susulan fenomena dikenali sebagai Istiwa’ A’dzam pada 5.16 petang ini.
Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan Jamali Mohd Adnan berkata ketika fenomena ini berlaku, kedudukan matahari berada pada titik zenith iaitu tepat di atas Kaabah di Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi.
Beliau berkata fenomena ini berlaku dua kali setahun iaitu hari ini dan 16 Julai depan pada 5.28 petang.
“Apabila Istiwa’ A’dzam ini berlaku, bayang-bayang objek tegak akan menunjukkan arah Kaabah (kiblat). Gunakan objek tegak dan lurus seperti tiang rumah, tingkap rumah atau lain-lain, bayang-bayang yang terhasil daripada objek tersebut menunjukkan ke arah kiblat.
“Semakan kiblat boleh dilakukan dalam tempoh 5.10 petang hingga 5.40 petang. Pastikan waktu semakan adalah mengikut waktunya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Jamali juga berkata orang ramai boleh membuat semakan waktu yang tepat berdasarkan waktu Malaysia di mst.sirim.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial