AM

Kerajaan Sarawak lancar HDAs bantu golongan muda B40, M40 miliki rumah

07/02/2022 03:57 PM

KUCHING, 7 Feb -- Kerajaan Sarawak hari ini melancarkan Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) menerusi peruntukan RM10 juta dalam meneruskan komitmennya membantu golongan muda berpendapatan rendah dan sederhana di negeri ini untuk memiliki rumah.

Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata melalui skim khas yang akan diuruskan Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) itu, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan deposit sebanyak 10 peratus atau maksimum RM10,000. 

Menurutnya peruntukan permulaan ini bakal memanfaatkan sejumlah 1,200 pemohon muda dari kategori B40 dan M40 yang tidak mampu untuk membayar wang deposit kerana tidak cukup simpanan untuk membeli rumah ketika usia masih muda.

“Ia tidak perlu dibayar balik, ikhlas dari kerajaan negeri dan hanya perlu diuruskan melalui Mutiara Mortage dan jika pemohonan layak, maka duit deposit itu akan secara automatik dimasukkan ke akaun pemohon,” katanya pada sidang media selepas melancarkan skim berkenaan.

Katanya skim ini turut dibuka kepada pemohon yang membeli rumah dari pemaju swasta atau kontraktor yang berdaftar dengan pihak Mutiara Mortgage.

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak akan menambahkan lagi peruntukan untuk skim itu pada masa hadapan berdasarkan jumlah permohonan yang akan diterima.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis perasmian itu, beliau berkata HDAS turut diperluaskan kepada pemilik tanah yang ingin membina rumah di atas tanah sendiri.

“Tapak tanah yang dimiliki mestilah tanah yang diperuntukkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) dan Skim Penempatan Semula (SPS).

“Bagi inisiatif membina rumah di atas tanah sendiri, Mutiara Mortgage akan memperkenalkan Program Rumah Spektra Mutiara dengan kos pembinaan rumah akan dibiayai oleh Mutiara Mortgage melalui produk Mutiara Dream Home Financing Scheme (MDHFS),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan