SUKAN

MOHAMAD AFI DANIAL KEKALKAN PENGUASAAN PERLUMBAAN PERINGKAT KEDUA LTDIPT 2023

18/06/2023 04:25 PM

MELAKA, 18 Jun (Bernama) -- Pelumba Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Mohamad Afi Danial Ramli Abu Bakar, meneruskan penguasaannya pada peringkat kedua Le Tour de IPT (LTdIPT) 2023 hari ini, apabila mengekalkan ketiga-tiga jersi yang dimenanginya, pada kayuhan kriterium sejauh 60 kilometer (km).

Atlet berusia 19 tahun itu, merekodkan catatan masa 1 jam 31 minit 44 saat meninggalkan pesaing terdekatnya dari Kolej Kemahiran Tinggi MARA Ledang (KKTML) Muhammad Nazirul Aniq Abd Rahman, dengan perbezaan tiga saat manakala tempat ketiga juga milik pelumba KKTML Muhammad Hariz Md Hazri.

Pada peringkat kedua kriterium yang membabitkan 30 pusingan di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) itu, pelumba yang berasal dari Kota Tinggi, Johor tersebut turut membolot Jersi Putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan Jersi Hijau (Raja Pecut).

“Perlumbaan hari ini saya rasa sangat berbahaya sebenarnya kerana agak banyak selekoh tajam, ada dua atau tiga kali pusingan U, cuma saya kata kepada rakan sepasukan untuk cuba berada di bahagian hadapan untuk mengelakkan risiko kemalangan di permulaan.

“Sememangnya rasa sangat bertenaga pada perlumbaan hari ini, kerana saya tahu di mana saya punya kebolehan, hari ini telah terbukti namun saya tidak boleh terlalu tenang sebab sudah tentu ramai yang menukar strategi untuk merampas jersi dan esok saya akan pulas (kayuh) lebih lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas mengenai perlumbaan peringkat seterusnya esok, Mohamad Afi Danial berkata beliau bertekad untuk memenangi Jersi Polka Dot iaitu Raja Bukit.

Sementara itu, UPNM turut mengekalkan kecemerlangan mereka pada perlumbaan peringkat kedua hari ini, dengan mempertahankan gelaran Raja Bukit yang dimenangi dalam perlumbaan semalam, menerusi pelumbanya Ahmad Irfan Abdul Hamid yang meraih Jersi Polka Dot.

“Kalau ikutkan laluan kriterium adalah agak sukar kerana ia bukan perlumbaan jalan yang lurus, tetapi ia mengikut pusingan selain banyak laluan berbukit dan memerlukan taktikal,” kata pelumba dari Kota Tinggi, Johor itu.

Ahmad Irfan berkata beliau bersyukur dapat memenangi jersi itu hari ini dan bagi peringkat esok beliau akan memperbaiki segala kesilapan terutama dari aspek komunikasi dengan rakan-rakan bagi mempertahankan jersi berkenaan.

Saingan esok akan diteruskan pada peringkat ketiga bermula di Politeknik Port Dickson hingga Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang membabitkan jarak 92.8 km manakala perlumbaan terakhir pada Selasa bermula di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan berakhir di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Putrajaya sejauh 83.5 km.

LTdIPT 2023 merupakan jelajah lumba basikal lebuh raya institusi pengajian tinggi edisi pertama dengan menyaksikan penyertaan 78 pelumba daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta melibatkan 16 pasukan dengan saingan empat peringkat sejauh 332.7km.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan