EKONOMI

UNITEN PASANG SISTEM SOLAR PANEL BERKAPASITI 549 KWP, PASTIKAN KELESTARIAN TENAGA

08/07/2023 09:18 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) kini memiliki sistem solar panel atas bumbung berkapasiti 549 kWp iaitu di Bangunan Pengurusan dengan kapasiti 249 kWp dan Bangunan Kolej Kejuruteraan dengan kapasiti 300 kWp yang telah siap dipasang sepenuhnya pada 10 Mei lalu.

Timbalan Naib Canselor UNITEN Prof Datuk Dr Mohd Zamri Yusoff berkata pemasangan sistem tersebut merupakan inisiatif Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) yang telah ditandatangani di antara UNITEN, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) pada 7 April 2022.

Beliau berkata menerusi skim SARE itu dan sistem solar panel, UNITEN dapat menikmati kos pendahuluan sifar dalam pemasangan panel Fotovoltaik Solar (Solar PV), penjimatan kos elektrik yang dianggarkan sebanyak RM3.5 juta selama 25 tahun, serta kos kerja penyelenggaraan sifar termasuk pemantauan dan pembaikan dalam tempoh kontrak.

“Dengan pemasangan sistem Solar PV ini, UNITEN dapat mengukuhkan reputasinya sebagai universiti berfokuskan tenaga (The Energy University) yang menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui dan menyokong komitmen hala tuju kelestarian TNB ke arah pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan UNITEN turut memiliki teknologi solar panel lain seperti sistem Senslar iaitu sistem solar panel yang diapungkan di tasik Masjid UNITEN dan sistem Nano Grid yang merangkumi teknologi solar panel nano dan ultra-kapasitor di Medan Selera Kolej Kejuruteraan UNITEN.

Beliau berkata pemasangan sistem tersebut diketuai oleh Pensyarah Kanan Institut Tenaga Lestari UNITEN Dr Ahmad Wafi Mahmood Zuhdi, dan Pensyarah Kolej Kejuruteraan UNITEN, Hanif Abdul Karim serta kumpulan dari GSparx.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan