AM

Pasar Raya Diserbu Simpan Minyak Masak Bersubsidi Lebih Had

19/01/2024 10:43 PM

NIBONG TEBAL, 19 Jan (Bernama) -- Sebuah pasar raya di Sungai Jawi di sini diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang selepas dipercayai menyimpan minyak masak peket satu kilogram (kg) bersubsidi melebihi had lesen runcit yang dibenarkan, hari ini.

Bahan kawalan itu juga dipercayai dijual kepada pekerja asing pada harga lebih mahal bagi mengaut keuntungan. 

Pengarah KPDN Pulau Pinang S.Jegan berkata dalam serbuan pada 4 petang itu yang dibuat hasil risikan dan intipan pasukan penguat kuasanya sejak seminggu lepas, menemukan 4,480kg minyak masak peket satu kg yang disimpan di stor pasar raya tersebut, melebihi had lesen runcit dibenarkan iaitu 1,000kg.

“Pemilik pasar raya warga tempatan berusia 30-an itu memberi alasan dia menyimpan banyak stok bagi memudahkan urus niaganya dan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi tersebut daripada pembekal di sekitar negeri ini.

"Kita percaya peniaga mengaut keuntungan mudah dengan menjual minyak masak bersubsidi itu pada harga RM3 hingga RM3.50 sepeket kepada pekerja asing yang tinggal di sekitar kawasan pasar raya tersebut sejak setahun lepas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jegan berkata susulan serbuan itu, pihaknya merampas 3,480 kg minyak masak berkenaan yang bernilai RM8,700 dan beberapa dokumen bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.

"Kami telah merekodkan keterangan pemilik pasar raya untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat di bawah Akta kawalan Bekalan 1961," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan