AM

Lebih 100,000 Pengunjung Meriahkan Program Madani Rakyat Zon Tengah

25/02/2024 08:09 PM

KUALA SELANGOR, 25 Feb (Bernama) -- Penganjuran Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor di sini berjaya mencapai matlamat untuk merakyatkan setiap dasar, inisiatif dan perkhidmatan kerajaan bagi masyarakat luar bandar.

Menurut sekretariat penganjur, program yang melabuhkan tirai hari ini merekodkan jumlah 127,000 pengunjung sepanjang tiga hari program itu berlangsung, melepasi sasaran awal 100,000.

Orang ramai yang tinggal di kawasan pinggir dan luar bandar yang membanjiri Program MADANI Rakyat itu menjadi manifestasi bahawa tiada jurang dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan, malah ia merentas kepelbagaian latar geografi penduduk di negara ini.

Program yang merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI itu telah menghimpunkan lebih 163 perkhidmatan Kerajaan Persekutuan, negeri dan agensi yang berkaitan dan menjadi ‘pusat sehenti’ untuk rakyat.

Kemeriahan program tertumpu kepada Jualan Mega MADANI dan Agro MADANI yang menyaksikan pengunjung menggunakan peluang berkenaan bagi membeli barangan keperluan asas seperti beras, telur dan ayam pada harga yang lebih murah.

Kemudahan perkhidmatan shuttle yang disediakan di setiap kawasan parkir awam, memudahkan dan merancakkan lagi kehadiran orang awam ke program penuh acara itu.

Pelbagai acara dan perkhidmatan seperti pemberian diskaun kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penukaran topi keledar lama oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sememangnya menjadi tumpuan ramai yang hadir ke program itu.

Selain gerai yang menawarkan barangan pada harga murah, reruai pelbagai kementerian dan agensi turut menjadi pilihan orang ramai manakala warga kerja kementerian terbabit tidak jemu melayan serta memberikan maklumat berhubung inisiatif dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan kepada pengunjung.

Selain itu, karnival kerjaya yang turut diadakan dengan menawarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan membantu membuka ruang kepada warga luar bandar terutama anak muda untuk mendapatkan pekerjaan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis penutup program itu turut menzahirkan keyakinan program seumpama itu dapat menterjemahkan dan memperkukuh lagi kerangka konsep Malaysia MADANI.

Pelaksanaan program yang dijayakan oleh penjawat awam daripada semua peringkat jawatan itu turut mendapat pujian dan ucapan terima kasih daripada Perdana Menteri yang menyifatkan ia sebagai prestasi yang baik.

Program MADANI Rakyat akan diteruskan ke Zon Utara selepas ini dengan Pulau Pinang dijadual menjadi tuan rumah pada 27 hingga 29 April, Zon Timur di Pahang (28-30 Jun), Zon Selatan di Johor (25-27 Julai) diikuti Sarawak (27-29 Sept) dan berakhir di Sabah pada 18 hingga 20 Okt.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan