EKONOMI

Acwa Power Cadang Bangun Projek Tenaga Boleh Baharu Dengan Rakan Kongsi Tempatan - PM Anwar

29/04/2024 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- ACWA Power bercadang untuk bekerjasama dengan rakan kongsi strategik tempatan dalam membangunkan beberapa projek tenaga boleh baharu di beberapa negeri di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata semasa pertemuan bersama pengerusinya Mohammad A Abunayyan dan wakil pengurusan tertinggi syarikat itu hari ini, ACWA Power yang merupakan antara syarikat pembangunan tenaga terbesar di dunia dan terbesar di Timur Tengah, turut membentangkan beberapa cadangan pelaburannya di negara ini.

"Syarikat ini turut membentangkan cadangan pelaburannya, termasuklah kerjasama dalam membangunkan beberapa projek tenaga di Terengganu, Kelantan, Perlis, Sarawak dan Johor.

"Saya zahirkan penghargaan atas komitmen ACWA Power untuk meningkatkan pelaburannya di Malaysia dan memaklumkan negara ini sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran rakyat," kata Anwar menerusi hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan dasar mesra pelaburan dengan memberi tumpuan terhadap inisiatif memastikan setiap urusan pelaburan dipermudah dan disegerakan.

Terdahulu, semasa kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di luar mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) hari ini, Mohammad A Abunayyan menyatakan hasrat ACWA Power untuk melabur lebih US$10 bilion (US$1=RM4.77) di Malaysia dalam tempoh 10 tahun.

Antara projek yang dicadangkan termasuk menerusi kerjasama dengan syarikat tempatan, Cypark Resources Bhd.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan