AM

GISBH: 130 Kanak-kanak Masih Belum Dituntut Oleh Ibu Bapa - Nancy

05/12/2024 07:05 PM

TUMPAT, 5 Dis (Bernama) -- Seramai 130 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) masih belum dituntut ibu bapa mereka, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata ini berkemungkinan kerana ibu bapa kanak-kanak berkenaan bimbang akan ditahan sekiranya datang untuk mengambil anak-anak mereka.

"Mereka risau datang untuk menuntut anak kerana urusan itu melibatkan polis, tetapi sebenarnya yang ditahan itu ada kesalahan lain," katanya kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Seri Tumpat 2 di sini, hari ini.

Nancy berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghubungi ibu bapa kanak-kanak berkenaan, namun tiada maklum balas diterima.

"JKM perlu memulangkan kanak-kanak ini kepada ibu bapa mereka kerana ada tempoh tertentu yang ditetapkan mahkamah,” katanya menambah terdapat prosedur khas bagi menyerahkan kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata JKM perlu mendapatkan perintah mahkamah bagi orang yang layak dan sesuai untuk menjaga kanak-kanak itu.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September lepas, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan pihak polis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan