KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan bersetuju memberikan potongan tol 50 peratus daripada kadar biasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025 bagi semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) pada 27 dan 28 Jan ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata potongan tol itu akan bermula 12.01 tengah malam pada 27 Jan (Isnin) dan akan berakhir 11.59 malam, pada 28 Jan (Selasa) dengan peruntukan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggar berjumlah RM20.08 juta.
Katanya pengurangan tol 50 peratus itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet hari ini, dan akan dilaksanakan di semua plaza tol, kecuali di sempadan negara, iaitu di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Dis 2024.
“Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nanta berkata pengurangan ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023.
Beliau berkata sepanjang tempoh tersebut, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024.
Sehubungan itu, Nanta berharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol itu dengan sebaik-baiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelak kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini.
“Pengguna disarankan memuat turun aplikasi MYPLUS-TTA di PLUS App (Official) untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) bagi meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya kita semua dapat sampai ke destinasi dengan selamat.
“Semua pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan papan tanda dan maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS). Pengguna yang menggunakan lorong Smart Lane diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong Smart Lane yang telah diaktifkan, memandu dengan kelajuan yang ditetapkan dan peka dengan keadaan sekeliling semasa,” katanya.
Nanta turut menyarankan pengguna supaya menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya yang dikemas kini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook (Lembaga Lebuhraya Malaysia), aplikasi X (@LLMtrafik) serta TikTok (@llmtrafik).
Beliau berkata pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat trafik terkini atau bantuan.
“Bagi mendapatkan maklumat keadaan trafik semasa melalui paparan CCTV (kamera litar tertutup) di semua lebuh raya, pengguna juga boleh melayari laman sesawang LLM di https://www.llm.gov.my. Di samping itu, maklumat keadaan trafik juga boleh diperoleh melalui WhatsApp Channel LLM Info Trafik,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial