AM

Diskaun Tol Beri Situasi 'Menang-Menang', Tonjol Keprihatinan Kerajaan Dengar Keluhan Rakyat

24/01/2025 06:18 PM

Oleh SITI BAAQIAH MAMAT

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Keputusan kerajaan memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus daripada kadar tol biasa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2025, dilihat sebagai situasi ‘menang-menang’ kepada pengguna lebuh raya dan kerajaan.

Pakar Geostrategi Prof Dr Azmi Hassan berkata pemberian diskaun tol selama dua hari itu juga memperlihatkan keprihatinan kerajaan dalam mendengar keluhan rakyat daripada kumpulan yang amat memerlukan bantuan tersebut. 

“Sebenarnya diskaun tol 50 peratus ini keputusan menang-menang, kerajaan tidak perlu membayar 100 peratus pampasan kepada syarikat konsesi tol dan juga menang kepada kumpulan yang memang memerlukan sedikit diskaun.

“Keputusan ini memberi sedikit kelegaan dalam perjalanan musim perayaan ini, kerana bukan semua yang menggunakan lebuh raya itu dikatakan boleh membelanjakan bayaran tol tanpa mengira kesan perbelanjaan mereka yang lain,” katanya kepada Bernama.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini mengumumkan keputusan kerajaan memberikan potongan tol 50 peratus itu bagi semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) pada 27 dan 28 Jan ini.

Nanta berkata keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet hari ini dengan melibatkan peruntukan bayaran pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.

Azmi berkata kerajaan berupaya memberikan diskaun tol berkenaan disebabkan kedudukan kewangan negara yang bertambah baik di bawah Kerajaan MADANI, hasil penyasaran subsidi elektrik dan diesel selain usaha kerajaan membawa balik banyak pelaburan baru dari luar negara.

Bagaimanapun Azmi berpendapat pemberian diskaun tol itu harus dikurangkan secara berkala dan seterusnya dihentikan, bagi memberi tumpuan kepada subsidi bersasar yang lebih adil dalam mengagihkan bantuan kepada golongan yang layak.

“Sebenarnya kita perlu hentikan tradisi pemberian tol percuma pada setiap hari perayaan, kerana negara terpaksa keluarkan belanja tetapi yang menikmatinya hanyalah pengguna lebuh raya, namun jika diberhentikan serta merta ramai akan merungut seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Jadi perlu dihentikan secara pelahan-lahan bermula dengan diskaun 50 peratus, 30 peratus, 20 peratus, 10 peratus dan kemudian tidak ada diskaun lagi untuk berdepan dengan masalah ini,” katanya.

Berkongsi pendapat yang sama, penganalisis ekonomi Dr Baayah Baba berkata pemberian diskaun tol itu memadai, memandangkan rakyat sudah menikmati tol percuma pada empat perayaan utama pada 2023 dan 2024 atas keprihatinan kerajaan.

Beliau berkata peruntukan lebih RM300 juta yang ditanggung Kerajaan MADANI bagi bantuan tol musim perayaan untuk keempat-empat musim perayaan utama sejak 2023 itu, amat tinggi dan sebenarnya boleh digunakan untuk perkara yang lebih baik dan tertumpu.

“Kalau beri tol percuma bagus, tetapi ia tidak boleh dilaksanakan selalu kerana ada tumpuan lain yang perlu diutamakan dan saya percaya apabila ekonomi negara bertambah baik lagi kerajaan akan salurkan lebih lagi kepada rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan