KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Tiga syarikat termasuk satu daripadanya berusia lapan bulan yang diberikan kelulusan bersyarat melaksanakan Perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bukan syarikat “RM2”, sebaliknya memiliki modal berbayar mencukupi, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata syarikat itu merupakan syarikat bertujuan khas (SPV) yang ditubuhkan untuk memasuki permohonan PPKM.
“Syarikat yang dikatakan lapan bulan ini ada RM20 juta modal berbayar dan ada perniagaan lain, bukannya syarikat RM2. Mereka ada modal yang cukup dan untuk makluman syarikat ini milik penuh bumiputera, ketiga-tiga pengarahnya bumiputera,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai relevansi pengalaman dalam industri pemeriksaan kenderaan motor tidak dijadikan sebagai kriteria utama dalam pemilihan syarikat yang bakal bersaing dengan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Mengulas lanjut, Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menetapkan kriteria untuk memastikan syarikat baharu akan melabur untuk membina kepakaran dan keupayaan dalam industri pemeriksaan kenderaan.
Beliau berkata keupayaan kewangan adalah faktor utama bagi memastikan syarikat dapat memenuhi semua piawaian ditetapkan termasuk penyediaan peralatan pemeriksaan, tenaga kerja dan kebolehlaksanaan operasi.
“Bagi mengelakkan berlakunya konflik kepentingan, pemohon juga dibenarkan untuk mewujudkan syarikat baharu atau menggunakan syarikat tidak berkaitan perniagaan kenderaan bagi tujuan permohonan lesen PPKM.
“Ini bertujuan mewujudkan pemisahan perniagaan dan mengelakkan situasi syarikat yang mempunyai perniagaan kenderaan meluluskan kenderaan melalui PPKM sendiri,” katanya.
Loke berkata ketiga-tiga syarikat yang dilantik bagi melaksanakan PPKM itu telah memenuhi segala proses teliti yang dibuat secara terbuka dan memenuhi segala kriteria termasuk menyediakan pemeriksa kenderaan bertauliah.
“Kalau saya hendak sorok tak payah saya umum nama syarikat ini, yang pentingnya ialah kita nak buka pasaran ini supaya pasaran pemeriksaan lebih kompeten, berdaya saing dan banyak pilihan kepada pengguna,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial