AM

Ahli Parlimen Segamat Puji Inisiatif Fahmi, Harap Pertemuan Sama Dengan Media Vernakular

20/02/2025 02:19 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Inisiatif Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang mengadakan pertemuan dengan beberapa wakil organisasi dan pengamal media ialah langkah yang wajar dipuji dalam menangani isu mendesak seperti kelewatan pembayaran gaji, kehilangan pekerjaan dan kebajikan keseluruhan petugas media, kata Ahli Parlimen Segamat R. Yuneswaran.

Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap usaha berkenaan dan berharap Fahmi akan turut mengadakan pertemuan serupa dengan wakil daripada organisasi berita Tamil dan Cina bagi memahami cabaran khusus dihadapi mereka.

"Memastikan keterangkuman semua sektor media adalah penting dalam memperkukuh landskap media yang pelbagai di Malaysia.

"Dengan mengambil serius isu ini dan berusaha mencari penyelesaian jangka panjang, saya percaya inisiatif Fahmi memberikan contoh terbaik dalam melindungi kebebasan media, menjaga hak pekerja dan memastikan kemampanan bidang kewartawanan di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi bertemu kira-kira 30 wakil organisasi media, membincangkan kebajikan pengamal media di Bangunan Parlimen di sini semalam.

Dalam pada itu, Yuneswaran membangkitkan isu terkini mengenai petugas Petra News yang dibelenggu dengan masalah kelewatan pembayaran gaji dan tunggakan caruman berkanun, yang disifatkannya sebagai amat membimbangkan.

"Keadaan ini menunjukkan masalah yang semakin ketara dalam industri … sesetengah majikan gagal memenuhi tanggungjawab mereka, membiarkan pengamal media ini terkesan," katanya.

Selain organisasi berita berbahasa Melayu dan Inggeris, beliau berkata organisasi berita berbahasa Tamil dan Cina turut berdepan cabaran, sebagai contoh penutupan akhbar Tamil tertua di Asia Tenggara, Tamil Nesan, pada 2019 selepas beroperasi selama 96 tahun sejak penubuhan pada 1924.

"Oleh itu, seperti Tamil Nesan, cabaran dihadapi media vernakular termasuk kekangan kewangan dan perubahan corak pembacaan, harus diberi perhatian yang sama," katanya.

Yuneswaran berkata komitmen Fahmi untuk mengadakan sesi libat urus secara berkala mencerminkan pendekatan proaktif dalam melindungi pengamal media daripada layanan tidak adil serta memperkukuh daya tahan industri.

Beliau berkata sokongan kerajaan menerusi inisiatif seperti Tabung Kasih@HAWANA juga membuktikan komitmen berterusan dalam membantu petugas media yang terjejas ketika berdepan kesukaran.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan