BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM

Malaysia Tuan Rumah Permukiman ADMM, Tumpu AI, Keselamatan Siber Dan Maritim

26/02/2025 08:44 AM

Oleh R. Ratcharathan

GEORGE TOWN, 26 Feb (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mempengerusikan Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) yang dijadualkan bermula pada 9 pagi ini di Batu Feringghi.

Permukiman ini menghimpunkan menteri pertahanan dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN, serta Menteri Pertahanan Timor-Leste Donaciano Rosario Costa Gomes, yang hadir sebagai Pemerhati ASEAN.

Mesyuarat kali ini juga menjadi platform pertama bagi Menteri Pertahanan Indonesia Sjafrie Sjamsoeddin, dan Menteri Pertahanan Laos Khamliang Outhakaysone, untuk bertukar pandangan dengan rakan sejawat mereka mengenai cabaran keselamatan serantau.

Dalam mesyuarat berkenaan, Malaysia akan mengemukakan lima inti pati utama dengan tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber dalam sektor pertahanan, pengukuhan keselamatan maritim di rantau ASEAN selain mencadangkan penubuhan pasukan "Bantuan Kemanusiaan dan Bencana" dalam kalangan negara ASEAN.

Mohamed Khaled berkata Malaysia juga akan mengemukakan agar ASEAN memperhebat kerjasama dalam pembangunan industri pertahanan tempatan bagi memajukan rantaian pembekalan pertahanan di rantau ini serta mengetengahkan ancaman daripada pelaku bukan negara dan biosekuriti yang semakin berkembang. 

Kesemua cadangan berkenaan akan dibawa Malaysia pada Permukiman ADMM hari ini dan seterusnya ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN pada November ini untuk diperhalus dan disetujukan oleh semua negara anggota.

Sejurus selepas mesyuarat berkenaan, Mohamed Khaled dijadualkan mengadakan sidang media sebelum meneruskan sesi pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya dari negara ASEAN, disusuli dengan penganjuran minum petang bersama delegasi.

Semalam, beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan ll Brunei Pehin Datu Lailaraja Mej Jen (B) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Mohd Yussof dan Costa Gomes serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Datuk Astanah Abdul Aziz.

Permukiman ADMM dimulakan dengan Mesyuarat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan ASEAN (ADSOM WG) semalam.

Lebih 150 delegasi dari negara anggota ASEAN, termasuk Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN, menghadiri permukiman ini yang diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bertemakan "Keterangkuman dan Kemampanan".

Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini, menjadikannya antara kepengerusian paling aktif sejak negara ini memegang peranan yang sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan