AM

Platform Pertukaran Suka Sama Suka Direalisasikan Tahun Ini – Dzulkefly

14/01/2025 08:36 PM

BANGI, 14 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan platform digital “Pertukaran Suka Sama Suka” oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka dapat direalisasikan pada suku ketiga atau keempat tahun ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata platform itu bertujuan membolehkan petugas kesihatan dalam skim yang sama bertukar tempat bertugas tanpa perlu campur tangan Bahagian Sumber Manusia.

Bagaimanapun, beliau berkata sasaran lebih realistik untuk melancarkan platform tersebut adalah pada akhir tahun ini.

Sebelum ini dilaporkan Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) kementerian itu Norazman Ayob menyasarkan 1 Jun 2025 bagi pelancaran platform itu. 

“Perkara ini baharu dan sedang kita bincangkan dengan hangat. Harap-harapnya kita akan dapat merumuskan beberapa penemuan...kita sangat mahukan perkara ini diberikan sebab ini adalah untuk kebajikan petugas atau penjagaan kesihatan pekerja kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Shariacare: Merintis Kesihatan dengan Nilai-Nilai Syariah di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata perbincangan untuk mewujudkan platform itu telah dimulakan sejak tahun lepas bagi memperkenalkan sistem yang dapat berfungsi dengan efisien tanpa campur tangan pentadbiran.

Beliau juga optimis bahawa platform berkenaan mampu menangani isu seperti lesu upaya (burnout) dalam kalangan petugas kesihatan yang ditempatkan jauh dari kediaman mereka.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan