AM

Maxis Santuni Warga Emas Sempena Tahun Baharu Cina

10/02/2025 02:24 PM

SEREMBAN, 10 Feb (Bernama) -- Maxis Berhad, syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia terus berkongsi kegembiraan bersama golongan kurang berkemampuan sempena Tahun Baharu Cina dengan menyampaikan sumbangan kepada 100 warga emas di Temiang di sini, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Transformasi Maxis Patrick Er berkata sumbangan berupa angpau dan barangan keperluan itu merupakan komitmen berterusan Maxis untuk meringankan beban terutamanya kepada warga emas bagi menyambut perayaan.

“Kami amat berbesar hati kerana dapat berkongsi keceriaan dengan penduduk setempat dan ia juga mengeratkan lagi hubungan antara kakitangan syarikat dengan orang awam. Kita bantu bukan sahaja masyarakat bandar malah turut memfokus kepada masyarakat luar bandar.

“Tema sambutan kami kali ini “with every little moment shared, togetherness grows” juga bertujuan menggalakkan orang ramai menjalin hubungan bermakna dengan insan tersayang. Setiap detik dikongsi tidak kira sekecil apa pun dapat merapatkan kita,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu di sini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang Ng Chin Tsai dan majlis juga disertai lebih 30 warga Maxis.

Er berkata sebagai sebuah syarikat telekomunikasi, pihaknya berhasrat menghubungkan semua masyarakat untuk turut sama merasai kemeriahan musim perayaan sekali gus merapatkan lagi ikatan persahabatan.

“Kita merancang untuk menjadikannya acara tahunan, bukan sahaja sempena Tahun Baharu Cina tetapi semua perayaan lain dalam negara ini kerana kita mahu sama-sama berkongsi kegembiraan,” katanya.

Beliau berkata selain menyumbang kepada masyarakat memerlukan, Maxis turut memberi tumpuan kepada aspek pendidikan bagi menyokong keperluan digital termasuk melalui Maxis eKelas iaitu program pendidikan digital untuk membantu pelajar luar bandar meningkatkan prestasi akademik.

“Selain itu, program eKelas Usahawan pula membantu melengkapkan usahawan mikro dan kecil dengan kemahiran pemasaran digital untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu Ng melahirkan penghargaan kepada Maxis atas sumbangan tersebut selain menyeru lebih ramai pihak termasuk syarikat korporat untuk melaksanakan program seumpamanya bagi membantu meringankan beban mereka tidak berkemampuan.

Seorang penerima Liw Saw Yin, 77, menyifatkan sumbangan itu sebagai ‘hadiah’ dan tanda keprihatinan syarikat tersebut kepada golongan warga emas.

“Saya sangat gembira. Ini menunjukkan Maxis menghargai warga emas yang kurang berkemampuan dan ini merupakan kali pertama saya menerima sumbangan seperti ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan