AM

E-dagang Pilihan Utama Rakyat Malaysia Beli-belah Keperluan Perayaan

10/02/2025 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Semakin ramai rakyat Malaysia memilih untuk membeli-belah barangan keperluan secara dalam talian berbanding di kedai fizikal semasa perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Shopee dalam kenyataan memaklumkan kajian terbaharu penyedia platform e-dagang itu menunjukkan wujud peralihan ketara dalam tabiat pembelian, apatah lagi barangan yang dahulunya dibeli secara fizikal, kini semakin banyak boleh didapati dalam talian.

Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data Shopee Malaysia Tan Ming Kit berkata hal itu juga disebabkan oleh kemudahan, harga yang lebih kompetitif serta pengalaman membeli-belah interaktif ditawarkan e-dagang.

“Semakin ramai rakyat Malaysia menggunakan e-dagang bukan sahaja kerana kemudahan yang ditawarkan tetapi juga kerana pengalaman interaktif seperti strim langsung yang meningkatkan penglibatan serta membantu mereka membuat keputusan pembelian dengan lebih bijak,” katanya. 

Kenyataan itu memaklumkan saluran strim langsung membolehkan pembeli berinteraksi secara terus dengan penjual untuk mendapatkan cadangan produk sekali gus menunjukkan bagaimana inovasi digital membentuk semula tabiat pembelian musim perayaan Tahun Baharu Cina sambil memelihara tradisi.

Dalam pada itu, Shopee Live kekal sebagai platform utama bagi pengguna yang mencari pengalaman membeli-belah lebih menarik dan interaktif.

“Tahun ini, jumlah pembeli tempatan yang berinteraksi dengan penjual melalui strim langsung meningkat 116 peratus berbanding tahun lepas. Lonjakan ini membuktikan bahawa perdagangan secara langsung telah menjadi saluran utama dalam pencarian produk keperluan perayaan Tahun Baharu Cina,” menurut kenyataan itu.

Seiring dengan peningkatan itu, Shopee Affiliate mengambil peluang memperkenalkan sesi strim langsung mereka sendiri semasa kempen perayaan tersebut yang menyaksikan lonjakan jumlah strim langsung oleh ahli affliate sebanyak 160 peratus.

Ia membawa kepada kenaikan 240 peratus dalam jumlah pesanan untuk barangan Tahun Baru Cina dan antara barangan yang mendapat permintaan tinggi ialah kuih-muih dan makanan perayaan sebanyak 3,000 peratus, hiasan rumah (1,700 peratus) diikuti fesyen (1,600 peratus) manakala produk kecantikan 1,900 peratus.

Shopee memaklumkan hampir dua juta barangan dibeli di bawah program ‘Dijamin Harga Rendah’ dengan lebih 620 juta baucar Shopee Live telah ditebus semasa kempen musim perayaan itu membawa kepada penjimatan lebih RM52 juta bagi barangan keperluan Tahun Baharu Cina. 

Sementara itu, ahli affiliate Shopee Bell Hee Pek Wan yang juga pemenang anugerah “Most Loved Streamer” dalam Shopee Superstar Awards 2024, berkata strim langsung membolehkan beliau berhubung lebih dekat dengan pembeli selain memberi peluang untuknya menunjukkan produk secara langsung.

“Saya memaparkan pelbagai keperluan perayaan ini daripada kategori produk rumah dan gaya hidup seperti perhiasan perayaan, set makan dan penyelesaian storan sehinggalah ke produk kecantikan yang sedang dalam trend.

“Saya juga membimbing pembeli untuk berjimat melalui Shopee Coins dan baucar. Pengalaman interaktif ini bukan sahaja membina kepercayaan tetapi juga meningkatkan jualan, memanfaatkan kedua-dua pembeli dan penjual,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan