KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menerusi anak syarikatnya, MyANGKASA Holdings Sdn Bhd menjangkakan lebih 7.2 juta anggotanya bakal mendapat manfaat melalui Skim Perlindungan MyANGKASA Plus yang baharu dilancarkan.
Presiden ANGKASA yang juga Pengerusi MyANGKASA Holdings Sdn Bhd Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata produk tambah nilai baharu itu menawarkan perlindungan menyeluruh dengan caruman mampu milik untuk membantu koperasi dan syarikat sektor kewangan menguruskan risiko pembiayaan.
"Objektif utama skim ini ialah memberikan manfaat perlindungan kepada kewangan koperasi dan syarikat serta anggota yang membuat pembiayaan bersama koperasi mahupun syarikat yang menggunakan khidmat Sistem Potongan Gaji ANGKASA (SPGA) sekiranya berlaku musibah terhadap peminjam.
“Skim ini memberikan manfaat bantuan kewangan kepada peminjam yang mengalami bencana. Pembiaya juga akan dilindungi dengan perlindungan ke atas pembiayaan yang diberikan untuk mengurangkan risiko ketidakmampuan bayaran semula dan tunggakan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata ANGKASA akan memastikan skim berkenaan diuruskan dengan tatakelola yang baik bagi menjamin manfaat ini akan disampaikan secara terus kepada waris tanpa keraguan bersama dengan perlindungan produk tambahan seperti hibah, wasiat dan pengurusan pusaka.
"Ini satu inisiatif baharu yang menjadi kelainan kepada skim ini berbanding produk di pasaran sedia ada," katanya
MyANGKASA Amanah Berhad, syarikat pengurusan amanah milik ANGKASA turut bekerjasama dalam projek berkenaan selaku pemegang dan pengurus amanah menerusi surat ikatan amanah yang akan ditandatangani oleh pelanggan.
Kerjasama itu melibatkan MyANGKASA Holdings Sdn Bhd (MHSB) dan MyANGKASA Amanah Berhad (MAAB) bersama Zurich Takaful Malaysia Berhad dan Zurich General Takaful Malaysia Berhad (Zurich Takaful).
Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Takaful Malaysia Berhad Nur Fatihah Mustafa dalam kenyataan sama berkata syarikatnya berupaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan menerusi skim perlindungan berkenaan yang menawarkan pelan menyeluruh dalam usaha memastikan anggota koperasi dilindungi 24 jam daripada situasi luar jangkaan di seluruh dunia.
"Inisiatif ini juga sejajar dengan kempen jenama 'Lindungi Segala Perkara Yang Bermakna' yang merupakan lanjutan daripada usaha berterusan untuk melindungi rakyat Malaysia agar mereka dapat menikmati kehidupan dengan penuh keyakinan demi masa depan yang lebih cerah," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Berhad Shamsul Azman Alias pula berkata selain daripada manfaat kematian dan hilang upaya kekal, Zurich Takaful turut menawarkan perlindungan takaful bagi Kehilangan Pekerjaan Tanpa Sukarela akibat kemalangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial