AM

Institusi Parlimen Berperanan Besar Semak Dan Imbang Pentadbiran - KP J-KOM

04/02/2025 12:06 AM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Institusi Parlimen tidak sepatutnya dilihat sebagai tempat persidangan untuk blok kerajaan dan pembangkang berbahas semata-mata, sebaliknya mempunyai peranan lebih besar dalam melakukan semak dan imbang terhadap kementerian dan agensi kerajaan.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop berkata persidangan hanyalah satu juzuk atau bahagian daripada fungsi Parlimen secara keseluruhannya dan kerajaan serta pembangkang mempunyai peranan penting dalam mencapai agenda kepentingan rakyat serta kemakmuran negara.

“Kalau dalam sistem Westminster ia (wakil rakyat) disebut sebagai legislator atau penggubal undang-undang. Namun dalam konteks (di negara) kita ini, kita sudah terbiasa dengan (pengasingan), ini blok kerajaan dan ini pembangkang.

“Saya secara peribadi lihat ahli Parlimen jangan terbawa-bawa dengan sentimen kepartian dan politik sempit untuk menjaga kepentingan parti masing-masing,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Titah Agong: Junjung Daulat Negara, Rakyat Sejahtera’, malam ini.

Beliau berkata apabila wakil rakyat memasuki Parlimen, mereka adalah penggubal undang-undang dan perlu menjaga etika sebagai individu yang diberi mandat oleh rakyat.

Bahkan, Ismail berkata dalam sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, institusi Parlimen disebut sebagai ‘dewan yang mulia’ menunjukkan ia sangat ‘sakral’ kepada setiap ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah.

“… dalam demokrasi yang lebih terbuka dan liberalisasi maklumat, jangan lupa rakyat sedang memerhati, jangan sampai rakyat hilang keyakinan kepada institusi tertinggi negara. Saya fikir itu mesej penting yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya.

Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 pagi tadi mengingatkan semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara bahawa Parlimen bukanlah tempat untuk bertegang urat, memaki hamun atau menabur fitnah, sebaliknya ia adalah dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat dan kemakmuran negara.

Selain itu, Seri Paduka Baginda bertitah Parlimen ialah dewan perhimpunan paling utama dalam sistem negara yang merupakan gelanggang pertemuan suara rakyat jelata, menggubal undang-undang serta medan semak dan imbang atau check and balance ke atas pentadbiran negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan