AM

Visi Perpaduan Tunku Abdul Rahman Kekal Relevan – Aaron

07/02/2025 09:29 PM

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Visi perpaduan dalam kepelbagaian yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj masih relevan sehingga ke hari ini, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata Almarhum Tunku Abdul Rahman, yang lebih dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan percaya perpaduan negara menjadi teras kepada negara yang aman dan makmur.

“Beliau melihat Malaysia sebagai tanah air untuk rakyat yang pelbagai latar belakang, tanpa mengira bangsa, agama atau warisan, boleh bertolak-ansur dan saling menghormati. Esok, kita juga memperingati ulang tahun kelahiran ke-122 Allahyarham, seorang tokoh yang mempunyai visi, pengorbanan dan kepimpinannya membentuk asas negara Malaysia yang kita cintai.

“Cita-citanya melangkaui perjuangan ke arah kemerdekaan atau tempoh berkhidmat sebagai Perdana Menteri pertama kita. Ia terus memberi inspirasi dan membimbing kita dalam usaha mencapai perpaduan dan kemajuan nasional,” katanya dalam ucaptama pada majlis Ulang Tahun ke-59 Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) di sini hari ini.

Aaron berkata YTAR, yang ditubuhkan sebagai tanda penghormatan kepada Tunku Abdul Rahman merupakan bukti komitmen teguh beliau terhadap pendidikan, perpaduan dan pembinaan negara.

Sempena ulang tahun kelahiran Tunku Abdul Rahman yang ke-122, Aaron yang juga Pengerusi YTAR mengumumkan bahawa permohonan Biasiswa Tunku Abdul Rahman akan dibuka mulai esok hingga 8 April, bagi rakyat Malaysia yang bercita-cita untuk menyambung pengajian atau sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda di universiti awam atau swasta dalam pelbagai bidang.

“Biasiswa itu merangkumi sembilan jenis elaun dan program pembangunan kepimpinan selama dua tahun bagi melahirkan pemimpin muda.

“Melalui program Biasiswa Tunku Abdul Rahman, rakan korporat telah mengubah pemberian biasiswa, menjadikannya lebih adil dan menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata Grab Malaysia, melalui program GrabScholar dengan kerjasama YTAR akan menaja enam biasiswa pada 2024 dan enam lagi pada 2025.

Aaron juga mengalu-alukan rakan universiti swasta baharu, yang telah menyertai misi YTAR melalui tajaan yuran pengajian dalam bentuk sumbangan termasuk Universiti IMU, Kumpulan Pendidikan Sunway, Universiti Tunku Abdul Rahman, dan Yayasan MSU.

Beliau berkata sejak tahun 2020, YTAR telah menjalin kerjasama melalui memorandum persefahaman (MoU), dengan memperoleh komitmen bernilai lebih RM22 juta, terdiri daripada wang tunai RM5.8 juta dan RM16.5 juta pengecualian yuran pengajian daripada universiti.

Beliau berkata program Closing The Gap, yang memberi tumpuan kepada akses pendidikan tinggi dan bimbingan berjaya direalisasikan melalui penajaan pelbagai kohort Yayasan OSK.

“Saya juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Yayasan CIMB akan menjadi penaja program Closing The Gap bagi tahun 2025.

“Kerjasama ini akan membantu pelajar di Lembah Klang, khususnya mereka daripada komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR). Program ini juga adalah sebahagian daripada inisiatif Santuni MADANI, yang menjadi bukti kerjasama antara Yayasan CIMB dan YTAR,” katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1966, YTAR telah memperkasakan 9,500 belia Malaysia melalui biasiswa, bantuan kewangan dan program pembangunan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan