KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada semua penganut Hindu yang akan meraikannya esok.
Menerusi catatan di Facebook, Ahmad Zahid berkata Malaysia kaya dengan kepelbagaian, dengan masyarakat berbilang kaum dan agama hidup dalam semangat keharmonian serta saling menghormati dan menerima perbezaan sebagai kekuatan bersama.
“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada seluruh penganut Hindu di seluruh negara.
“Marilah kita terus memperkukuh perpaduan dan menghormati kepelbagaian yang menjadi tunjang kepada keharmonian negara,” kata Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu.
Ahmad Zahid berkata Thaipusam merupakan satu daripada upacara keagamaan bagi penganut Hindu di seluruh dunia dan diraikan pada bulan 'Thai', iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.
Fadillah pula berkata Thaipusam menjadi bukti rakyat negara ini sentiasa meraikan perpaduan dalam kepelbagaian serta saling menghormati amalan, adat dan budaya masing-masing.
“Syukurilah dan pertahankanlah kekuatan perpaduan yang kita kecapi selama ini demi Malaysia yang lebih harmoni, makmur dan sejahtera,” kata Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu menerusi Facebook.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad turut menyeru masyarakat agar mengukuhkan perpaduan dan persaudaraan dalam negara yang aman dan makmur ini.
“Selamat Hari Thaipusam kepada semua penganut Hindu di Malaysia yang akan menyambut perayaan esok,” katanya.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan turut mengucapkan selamat menyambut Thaipusam, sambil mengajak masyarakat menghayati semangat sambutan itu bersama keluarga, sahabat handai dan kenalan beragama Hindu.
Beliau berkata sambutan Thaipusam cukup istimewa dan penting untuk masyarakat India.
“Saya mendoakan penganut Hindu dapat menunaikan dan menyambut Thaipusam dengan meriah dalam suasana harmoni di seluruh negara. Pastikan keselamatan sentiasa dijaga,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua petugas keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas menjaga keselamatan ketika sambutan itu.
“Harapan saya, kita terus hidup dalam keamanan, perpaduan dan kestabilan serta bersama-sama menuju masa hadapan yang lebih gemilang. Inilah kehebatan negaraku Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial