KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian menjadi langkah permulaan yang baik untuk mempersiapkan rakyat menghadapi landskap teknologi yang semakin kompleks, terutamanya dengan evolusi kecerdasan buatan (AI) yang semakin canggih.
Penganalisis Keselamatan dan Politik dari Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin, berpandangan bahawa inisiatif ini amat penting berikutan perkembangan pesat teknologi dan peningkatan kecekapan sindiket jenayah siber.
Beliau berkata antara trend terkini jenayah siber merangkumi penipuan dalam talian, isu perlindungan data peribadi, penyebaran berita palsu, serangan phishing, ransonware, serta penggunaan algoritma tanpa kawalan yang boleh menjejaskan identiti negara dalam konteks perpaduan berdasarkan Lembaga Persekutuan dan Rukun Negara.
“Penting untuk rakyat Malaysia terus waspada terutamanya sindiket-sindiket yang didalangi oleh sindiket antarabangsa yang akan terus menambah baik modus operandi mereka untuk melakukan jenayah siber dalam talian di negara-negara yang aktif dalam media sosial seperti di Malaysia.
“Kempen ini adalah satu permulaan yang baik tetapi perlu terus dikemas kini dan keupayaan kerajaan mendepani perkara ini amat dibanggakan kerana Malaysia mempunyai antara langkah kawalan keselamatan yang cukup baik dalam menghadapi isu AI,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Justeru itu, Noor Nirwandy mencadangkan agar kerajaan mengambil tindakan holistik dengan melaksanakan pendekatan perang saraf, menggalakkan audit algoritma kendiri dalam komuniti, serta membentuk kluster komuniti siber di kawasan tertentu bagi melindungi rakyat daripada ancaman siber yang semakin rumit.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian akan dilaksanakan di lebih 10,000 sekolah dan universiti awam di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran segenap lapisan masyarakat mengenai keselamatan internet.
Sementara itu, Timbalan Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM) Noor Mohamad Shakil Hameed yakin bahawa kempen yang bakal dilaksanakan ini akan memberi nilai tambah kepada usaha-usaha dan pembelajaran yang telah dijalankan di peringkat sekolah dan universiti.
“Secara prinsipnya, kita ada modul atau kerangka pengajaran yang dilihat menyokong agenda keselamatan siber. Di universiti, kesedaran ini turut ditekankan melalui kursus pengajian, program berbentuk keselamatan siber, serta peraturan dan polisi dalaman yang menetapkan panduan dan etika penggunaan internet,” katanya kepada Bernama.
Selain itu, Siti Azfa Shariza Mohd Shariff, 38, seorang kakitangan swasta yang juga ibu kepada dua orang anak, bersetuju dengan inisiatif kerajaan untuk melarang kanak-kanak di bawah usia 13 tahun memiliki akaun media sosial bagi melindungi golongan rentan itu.
“Dengan kemajuan teknologi AI yang mampu menghasilkan video, imej, dan audio yang hampir menyerupai realiti, kita khuatir ia disalahgunakan oleh individu berniat jahat seperti pedofilia, scammer dan pemerdagangan manusia untuk memperdaya kanak-kanak. Maka, saya menyokon kempen ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial