AM

Program Youths IRL Perkasa Belia Perjuangkan Isu Keselamatan Dalam Talian

12/02/2025 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Bersempena dengan Hari Keselamatan Internet 2025, empat organisasi bekerjasama melancarkan Youths IRL (In Real Life), sebuah program fellowship yang bertujuan memperkasakan golongan muda dengan pengetahuan dan kemahiran bagi memperjuangkan keselamatan dalam talian dan kesedaran terhadap penipuan dalam komuniti mereka.

Menurut kenyataan Youths IRL, organisasi yang terlibat ialah Ratio:Cause, CelcomDigi Berhad, Communications and Multimedia Content Forum of Malaysia (Content Forum), dan Meta Platforms, Inc. 

Sebanyak 10 belia berusia antara 18 hingga 25 tahun dari Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak dipilih menyertai program itu, berdasarkan minat mendalam mereka terhadap isu keselamatan dalam talian, kemahiran berfikir secara kritis dan idea penyelesaian dalam menangani cabaran digital.

"Melalui bimbingan daripada Kementerian Komunikasi, CelcomDigi, Content Forum, PayNet, dan CyberSecurity Malaysia, mereka akan dilatih mengenai keselamatan dalam talian, kesedaran tentang penipuan, dan kefasihan digital serta membina asas dalam dasar awam.

"Mereka juga akan terlibat dalam forum untuk membincangkan cabaran sebenar yang dihadapi masyarakat digital dan mengenal pasti jurang dalam perundangan untuk memastikan dasar dan peraturan kekal relevan dan berkesan dalam menangani isu keselamatan dalam talian," menurut kenyataan itu hari ini.

Pada akhir program fellowship selama tiga bulan ini, belia yang terlibat akan menghasilkan satu kertas cadangan dengan saranan dasar mengenai kandungan dalam talian dan tadbir urus Internet yang akan dibentangkan kepada Kementerian Komunikasi.

Menurut kenyataan itu, program fellowship ini ialah sebahagian daripada program holistik kempen Keselamatan Dalam Talian IRL yang bertujuan memperkasakan rakyat Malaysia dengan amalan keselamatan dalam talian untuk menangani peningkatan ancaman digital seperti penipuan, eksploitasi kanak-kanak dalam talian dan buli siber.

"Kempen ini juga merangkumi program fellowship Creators IRL, dengan 10 pempengaruh media sosial dan pencipta kandungan dibekalkan dengan strategi kreatif untuk mengintegrasikan pengetahuan keselamatan dalam talian menerusi kandungan mereka, bertujuan memperkukuh ketahanan komuniti terhadap ancaman dalam talian melalui platfom mereka.

"Secara keseluruhan, kempen media sosial Keselamatan Dalam Talian IRL telah menghasilkan lebih 40 video menerusi platform seperti Instagram, Facebook dan TikTok yang memfokuskan terhadap kesedaran mengenai penipuan, keselamatan kanak-kanak dalam talian dan antibuli siber, bahaya di laman web judi dalam talian dan tindakan yang perlu diambil jika berdepan dengan ancaman sedemikian," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang menyokong program berkenaan berkata penglibatan berterusan belia dan pencipta kandungan adalah amat penting dalam meningkatkan keselamatan ruang digital.

"Menangani ancaman dalam talian memerlukan pendekatan seimbang – memastikan pelaku bertanggungjawab sambil memperkasakan pengguna Internet dengan pengetahuan untuk melindungi diri mereka.

"Dengan memberikan ilmu keselamatan dalam talian kepada belia termasuk melibatkan suara mereka dalam pembentukan dasar, kita dapat merangka dasar digital yang mencerminkan pengalaman pengguna Internet.

"Kementerian Komunikasi berhasrat mewujudkan persekitaran digital yang memupuk kreativiti, inovasi dan kebebasan bersuara sambil memastikan undang-undang dipatuhi, kami berterima kasih kepada pencipta kandungan, pemimpin belia dan pihak berkepentingan dalam media sosial dan industri telekomunikasi yang komited bekerjasama dalam mencapai matlamat ini," katanya dalam kenyataan sama.

Teo berkata kementerian berbangga dengan kemajuan yang dicapai setakat ini, dan berharap dapat terus memperoleh kejayaan bersama pada masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program ini dan melihat kandungan daripada peserta Creators IRL, orang ramai boleh melayari onlinesafetyirl.com dan mengikuti @heycreatorsirl dalam Instagram dan TikTok manakala bagi program Youths IRL, ikuti @youthsirl menerusi platform sama. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan