AM

Yayasan Peneraju Tawar Diskaun 30 Peratus Bayaran Baki Pinjaman Pendidikan

14/02/2025 07:04 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Bersempena dengan ulang tahun ke-13, Yayasan Peneraju (YP), agensi di bawah Kementerian Ekonomi menawarkan diskaun 30 peratus bagi baki pinjaman pendidikan kepada penerima manfaat dan alumni yang membuat bayaran penuh bermula pada hari ini hingga 30 April.

Yayasan berkenaan dalam kenyataan hari ini memaklumkan bayaran boleh dibuat melalui Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau secara tunai.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Ibrahim Sani berkata inisiatif berkenaan diperkenalkan sebagai tanda penghargaan kepada penerima manfaat dan alumni yang menyumbang kepada masyarakat.

"Kami berbesar hati memperkenalkan kempen ini sebagai cara untuk menghargai penerima dan alumni atas sumbangan berterusan mereka kepada komuniti. Dengan menawarkan diskaun ini, kami berharap dapat memberikan mereka pilihan kewangan yang bijak untuk melangsaikan hutang pinjaman.

"Kami juga berhasrat untuk mengembalikan dana bayaran semula ini bagi menyokong pertumbuhan Yayasan Peneraju. Dana ini akan digunakan untuk memperluas pakej pembiayaan pendidikan, membolehkan lebih ramai bakat bumiputera menerima manfaat yang mungkin tidak dapat dicapai tanpa pembayaran balik pinjaman ini," katanya dalam kenyataan itu.

Sejak ditubuhkan pada 2012, Yayasan Peneraju telah membantu lebih 75,000 individu bumiputera, membekalkan mereka dengan kemahiran untuk berjaya dalam landskap global yang sentiasa berubah.

Menurut kenyataan itu, permohonan untuk program Peneraju Technology meningkat lima kali ganda sejak diperkenalkan pada 2021, mencerminkan komitmen Yayasan Peneraju dalam melengkapkan tenaga kerja bagi menghadapi era digital.

"Tahun lepas menjadi tahun cemerlang bagi Yayasan Peneraju, dengan pencapaian signifikan yang menggambarkan komitmen berterusan organisasi itu dalam menyediakan peluang pendidikan dan membangunkan bakat bumiputera.

"Inisiatif utama termasuk platform YP Talent Bank dan program YP Exchange (YPX) yang menyumbang kepada peluang pekerjaan lebih luas serta memperkukuh kerjasama dalam ekosistem berkenaan," menurut kenyataan itu.

Tahun ini, Yayasan Peneraju turut berhasrat untuk memperluas rangkaian Peneraju Alumni dan meneruskan usaha di bawah mandat bumiputera Kementerian Ekonomi termasuk membentuk kerjasama baharu dan mengintegrasikan teknologi, seperti kecerdasan buatan (AI), selain kekal berada di barisan hadapan dalam kemajuan dan inovasi, menyokong pertumbuhan komuniti bumiputera.

Dalam meraikan pencapaian ini, Yayasan Peneraju menegaskan komitmen untuk membentuk tenaga kerja bumiputera yang berkemahiran dan berdaya tahan, serta menyumbang kepada kemajuan masa depan Malaysia dan menghargai sokongan daripada bakat, alumni dan rakan kerjasama dalam menjayakan usaha ini.

Bagi maklumat lanjut mengenai tawaran itu, penerima manfaat dan alumni boleh menghubungi recovery@yayasanpeneraju.com.my

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan