AM

Kampung Angkat MADANI Komitmen Kerajaan Tingkat Kualiti Hidup Rakyat

16/02/2025 05:16 PM

SUNGAI PETANI, 16 Feb (Bernama) -- Kejayaan Projek Kampung Angkat MADANI mencerminkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Peguam Negara Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata bagi Jabatan Peguam Negara (AGC) pihaknya amat berbesar hati kerana turut berpeluang terlibat dengan projek tersebut.

"Bagi menyahut dan merealisasikan aspirasi ini (kampung angkat MADANI), AGC telah memilih Kampung Jilid Lapan dan Rangkaian di sini sebagai Kampung Angkat MADANI.

"Dengan peruntukan RM2.5 juta, pelbagai projek fizikal dilaksanakan di kampung ini, antaranya penurapan jalan kampung, pemasangan lampu solar, menambah baik pagar tanah perkuburan, menaik taraf perpustakaan sekolah KAFA, pembinaan jeti nelayan, menaik taraf padang bola sepak dan menyediakan mesin ATM di masjid kampung ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Infrastruktur Awam Kampung Angkat MADANI AGC di Masjid At Tahir, Kampung Sungai Gelam, Mukim Bujang dekat sini hari ini.

Mohd Dusuki berkata projek berkenaan memberi impak serta manfaat yang sangat besar kepada masyarakat sekitar sekali gus berupaya meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

Beliau berkata pihaknya percaya jika kemudahan asas kampung ditambah baik, ia akan turut meningkatkan taraf sosioekonomi, di samping memberi peluang kepada setiap individu untuk berkembang dan masyarakat dapat mengecapi kemakmuran yang berterusan.

"Kami menghargai kerjasama dan sokongan semua pihak termasuk kerajaan negeri, masyarakat dan pemimpin komuniti serta ketua-ketua jabatan dan berharap agar kerjasama seperti ini dapat diteruskan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif kepada penduduk kampung," katanya.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Masjid At Tahir Azizan Othman berkata mewakili penduduk kampung, pihaknya mengucapkan penghargaan kepada kerajaan MADANI di atas inisiatif kampung angkat tersebut.

"Terima kasih kepada AGC kerana beri bantuan begitu banyak kepada kampung kami. Sebelum ni kalau nak keluarkan duit kena pergi ke pekan lebih kurang tiga kilometer dari sini dan kadang-kadang mesin ATM rosak sebab ramai sangat orang dok guna.

"Pembinaan jeti di sungai kampung ini juga dapat memanfaatkan dan mempermudahkan lebih 50 nelayan yang kebanyakannya menangkul ketam," katanya.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan