KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Ujian berat dihadapi seorang kanak-kanak iaitu Muhammad Hariz Iman Mohd Herman yang hilang penglihatan akibat kanser saraf, mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menyalurkan sumbangan RM10,000.
Sumbangan itu bagi meringankan beban keluarga kanak-kanak malang itu, disalurkan menerusi Setiausaha Politiknya Datuk Azman Abidin kepada kedua-dia ibu bapa Muhammad Hariz Iman ketika menziarah mereka di Hospital Tunku Azizah (HTA) di sini, hari ini.
Bercakap kepada Bernama Azman berkata penderitaan dialami Muhammad Hariz Iman atau nama manjanya Hariz, yang kini berumur dua tahun enam bulan, adalah satu penyakit jarang jumpa yang menyebabkannya terpaksa berulang-alik ke HTA, bagi menjalani rawatan kemoterapi berterusan.
“Sekarang ini mata Hariz buta di kedua-dua belah dan dia masih sedang menjalani rawatan kemoterapi untuk rawatan kanser tersebut. Jadi hari ini saya datang mewakili kerajaan untuk memberi sumbangan daripada Pejabat Perdana Menteri.
“Kita harap sumbangan ini dapat mengurangkan bebanan adik Hariz dan keluarganya terutama untuk kos perubatan dan barangan keperluan lain,” katanya.
Azman berkata program hari juga ini adalah sebahagian daripada inisiatif Ziarah Kasih MADANI, yang bukan sahaja memberi perhatian kepada pesakit tetapi malah golongan miskin dan rentan di seluruh negara.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebenarnya memberi perhatian kepada banyak perkara, cuma beliau tahu disebabkan kekangan masa, beliau tidak bolehlah nak menyantuni semua. Maka kami sebagai Setiausaha Politik beliau kena turun ke bawah menyantuni dan membantu. Mana yang kami mampu dan boleh pergi, kami bantu melalui inisiatif ini yang secara berterusan,” katanya.
Sementara itu, bapa kanak-kanak berkenaan Mohd Herman Rusli, 38, berkata beliau bersyukur dan terharu dengan bantuan yang diterima.
“Alhamdulillah, ini rezeki anak saya. Ia (sumbangan) amat bermakna kerana kos rawatan dan keperluan Hariz mencecah RM1,000 sebulan.
“Walaupun isteri saya (Norshahida Md Nayan) juga bekerja, namun perbelanjaan keluarga masih tinggi kerana kami perlu berulang-alik dari rumah di Putrajaya ke HTA setiap minggu untuk rawatan dan pemeriksaan susulan,” katanya yang bekerja sebagai eksekutif teknologi maklumat (IT).
Kisah penderitaan Hariz yang dilahirkan normal sebelum tiba-tiba mengalami masalah penglihatan dilaporkan media minggu lepas, selepas bapanya berkongsi kisah tersebut di TikTok dengan harapan ada yang mendoakan kesembuhan anaknya.
Menerusi perkongsian itu, Mohd Herman memaklumkan anaknya disahkan menghidap barah neuroblastoma tahap empat pada 5 Ogos 2024 dan kini sudah menjalani lapan kitaran kemoterapi rapid Cojec dan dua kitaran kemoterapi AIS di HTA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial