JOHOR BAHRU, 21 Feb (Bernama) -- Kerajaan Johor menjalin kerjasama dengan 42 Iskandar Puteri dalam membangunkan bakat teknologi tempatan dengan kemahiran yang diperlukan bagi ekonomi digital masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata Johor semakin berkembang sebagai hab pusat data serta industri digital, dan kerjasama itu bertepatan dengan keperluan semasa menuju ke arah pendigitalan serta pertumbuhan ekonomi yang pesat.
“Dengan pertumbuhan pesat industri pusat data di Johor khususnya di Iskandar Malaysia dan kelebihan strategik yang ditawarkan oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ), kehadiran 42 Iskandar Puteri di negeri ini adalah satu langkah tepat dengan keperluan semasa.
“Selain itu, ia bukan sahaja melengkapkan anak muda Johor dengan kemahiran yang relevan tetapi juga membuka ruang kepada mereka untuk menjadi pemain utama dalam industri teknologi yang sedang berkembang pesat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aznan berkata 42 Iskandar Puteri dengan sokongan kerajaan negeri akan melancarkan Python & AI Discovery Programme selama lima hari, sebagai langkah memperkenalkan lebih ramai rakyat Johor kepada pengaturcaraan dan kecerdasan buatan (AI).
“Program ini menggunakan metodologi pembelajaran unik 42 iaitu pembelajaran adalah melalui pendekatan rakan sebaya dan pembelajaran berasaskan projek, berbeza dengan bengkel tradisional.
“Peserta juga akan mendapat pengalaman langsung dalam menyelesaikan cabaran dunia sebenar, semuanya tanpa sebarang yuran," katanya.
Aznan berkata inisiatif itu menyokong usaha Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) dalam memastikan bakat tempatan bersedia menghadapi pasaran kerja yang semakin berkembang.
“Pendekatan 42 yang menerapkan pembelajaran berasaskan permainan atau gamifikasi dalam kurikulumnya, menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan, mencabar dan memberi motivasi kepada generasi muda. Kaedah pembelajaran ini juga membantu membina dan mengasah pemikiran kritikal, penyelesaian masalah serta kemahiran insaniah yang lain,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada rakyat Johor berusia 17 tahun ke atas untuk mendaftar program itu menerusi https://42my.online/42ip-pythonai-signup, terdapat dua sesi iaitu pada 10 Mac hingga 14 Mac selain 17 Mac hingga 21 Mac.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi 42 Malaysia Jeff Sandhu turut menggalakkan rakyat Johor untuk merebut peluang itu dan melengkapkan diri dengan kemahiran digital bagi menyumbang kepada transformasi digital di negeri berkenaan.
“Cabar diri anda untuk naik ke tahap seterusnya, tiada had ke mana kemahiran baharu ini boleh membawa anda,” katanya sambil menambah ini adalah peluang terbaik untuk mereka yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial