AM

Pegawai Tribunal Kastam Ditemukan Mati Dengan Leher, Kaki Terjerut Pengikat Kabel

05/03/2025 09:05 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Seorang pegawai kastam ditemukan maut, dengan leher dan kakinya terikat menggunakan pengikat kabel di Pejabat Perbendaharaan, Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu melalui panggilan kecemasan MERS 999 pada 10.56 pagi sebelum sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya digerakkan ke lokasi.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di lantai pejabat dengan keadaan leher dan kaki terjerut menggunakan pengikat kabel. Mangsa berusia 45 tahun dan merupakan Pegawai Tribunal Kastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dijumpai.

Beliau berkata mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik dan Patologi Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

“Polis meminta kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat sila hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Putrajaya di talian 03-88862222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Menurut sumber, mangsa dipercayai hilang sejak Isnin lepas setelah merakam waktu masuk bekerja dan pencarian dalaman telah dilakukan sebelum mayat mangsa ditemukan di dalam sebuah bilik di kementerian itu oleh Angkatan Pertahanan Awam yang melakukan operasi pencarian.

Sementara itu, Kementerian Kewangan dalam kenyataan mengesahkan terdapat satu insiden kematian di Kompleks Kementerian Kewangan hari ini.

“Keluarga waris telah dimaklumkan berkenaan perkara tersebut oleh pihak berkuasa.

“MOF turut berdukacita dengan kejadian ini dan merakamkan takziah kepada keluarga waris,” menurut kenyataan itu.

Kementerian juga memaklumkan akan memberikan kerjasama penuh dan telah menyerahkan hal ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan