KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempergiatkan usaha menangani isu sosial dalam kalangan belia terutama berkaitan penyalahgunaan dadah menerusi pendekatan bersepadu serta kerjasama strategik dengan pelbagai agensi.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata KBS bekerjasama dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi merangka beberapa inisiatif holistik.
“Antara langkah awal, KBS telah berjumpa dengan pihak PDRM untuk membincangkan trend dan kebimbangan mengenai isu ini,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri sesi taklimat Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental di HKL hari ini.
Sesi taklimat itu bagi merancang dan mempergiatkan agenda advokasi berfokuskan empat komponen utama iaitu kesan penggunaan bahan, corak penggunaan dadah, sistem rawatan perkhidmatan yang disediakan serta perkhidmatan pesakit luar dan pesakit dalam berserta jenis intervensi.
Program ini dirancang secara interaktif untuk mendidik belia tentang risiko penyalahgunaan dadah, kaedah mendapatkan bantuan dan kepentingan sokongan psikososial melalui aktiviti seperti forum, simulasi dan kempen digital.
Hannah berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh, hampir 50 peratus daripada pesakit yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah golongan belia, berusia antara 15 hingga 30 tahun.
“Melalui bahan kesedaran yang ingin diwujudkan, kita nak mereka tahu bahawa ini adalah satu trend yang membahayakan, dan kita ingin memperkasakan ibu bapa termasuk rakan sebaya bagaimana mendapatkan bantuan setelah melihat simptom seperti ini,” katanya, sambil menambah KBS juga akan memperluaskan kerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti Agensi Antidadah Kebangsaan dan badan bukan kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial