KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI akan diperluas dengan pembukaan tapak kiosk ketiga di Pusat Beli Belah One Utama, Petaling Jaya, Selangor dan dijangka dilancarkan pada April.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pemilihan pusat beli-belah itu atas faktor lokasi strategik yang menjadi tempat tumpuan ramai untuk menggunakan perkhidmatan awam.
“Dengan pendekatan ini, kita berharap Kiosk Sentuhan MADANI dapat menjadi model kepada transformasi perkhidmatan awam yang lebih mesra rakyat, (ada kemudahan) digital, dan relevan dengan keperluan semasa.
“Inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI ini mendapat perhatian semua pihak. Beberapa menteri, Ahli Parlimen dan pihak korporat telah menyatakan minat untuk melaksanakan inisiatif ini di kawasan mereka. Ini menunjukkan inisiatif ini memberikan nilai tambah kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan awam dengan mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI di Stesen Sentral Kuala Lumpur di sini hari ini.
Inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI diperluas ke lokasi strategik kedua di Stesen Sentral Kuala Lumpur bagi memanfaatkan lebih ramai pengguna selepas sambutan luar biasa terhadap perkhidmatan digital itu di Putrajaya.
Kiosk Sentuhan MADANI menghimpunkan lebih 100 perkhidmatan kerajaan daripada enam agensi utama iaitu JPJ, Pos Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Amanah Saham Nasional Berhad dan MyDigital ID.
Ia cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Belanjawan 2025 bagi mempercepat pendigitalan dan penyatuan perkhidmatan kerajaan di lokasi tumpuan sekali gus memudahkan rakyat berurusan di luar waktu pejabat.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Pengerusi Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Datuk Mohamad Nasir Ab Latif, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan dan Ketua Pengarah Unit Pantau MADANI Mohd Khalid Mohamed Latiff.
Pada majlis sama, pengunjung berpeluang membuat pertukaran 500 topi keledar percuma sumbangan JPJ serta agihan juadah bubur lambuk oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), pemaju utama KL Sentral.
Sementara itu, mengenai tindakan susulan bagi memastikan kejadian panel dinding di Stesen Masjid Jamek runtuh akibat hujan lebat di lokasi lain, Loke berkata tindakan penyelenggaraan sentiasa dilaksanakan dalam memastikan keselamatan orang ramai.
Semalam, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) mengesahkan terdapat sebuah panel dinding di Stesen Masjid Jamek runtuh ketika hujan lebat pada 4.04 petang namun tidak melibatkan kemalangan jiwa dan tiada kerosakan besar pada struktur stesen.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah diarahkan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan bagasi serta ‘hand luggage’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam menangani isu penyeludupan hidupan liar.
“Untuk KLIA kita akan memastikan supaya mesin X-ray dapat ditambah baik dan kita telah memberi arahan kepada MAHB untuk lebih memantau.
“Kita juga mungkin perlu memperkuat prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek pemeriksaan bagasi tangan penumpang … sudah tentu kita mahu melakukan penambahbaikan dan MAHB sedang meneliti kemudahan mereka, termasuk mesin X-ray,” katanya.
Pada Selasa, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi dalam kenyataan memaklumkan Malaysia dijadikan negara transit bagi penyeludupan hidupan liar bernilai tinggi seperti gading gajah, tanduk badak sumbu dan reptilia eksotik.
Data rampasan hidupan liar oleh pihak berkuasa India bagi penerbangan dari KLIA Terminal 1 (T1) dan Terminal 2 (T2) menunjukkan sebanyak lapan kes direkodkan pada 2023 dan 12 kes pada 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial