KUALA LUMPUR,13 Mac (Bernama) -- Inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI disasar untuk diperluaskan ke 30 lokasi di seluruh negara dalam tempoh 36 bulan, kata Ketua Pengarah Unit Pantau MADANI Mohd Khalid Mohamed Latiff.
Beliau berkata tempoh sasaran itu bergantung kepada kerjasama pihak korporat dan swasta dalam menjayakan inisiatif berkenaan kerana pelaksanaannya menggunakan pendekatan seluruh negara, melibatkan usaha sama antara pihak kementerian, agensi kerajaan serta sektor swasta.
“Untuk memastikan kita boleh memperluas konsep Kiosk Sentuhan MADANI ke seluruh negara, kita mengalu-alukan sektor-sektor korporat untuk bersama-sama dan menyertai kami dalam perjalanan ini.
“Sebagai contoh di sini (KL Sentral), MRCB ambil tanggungjawab secara proaktif untuk memberi tempat di KL Sentral serta pelbagai sokongan oleh MRCB, manakala di Alamanda, Putrajaya Holdings telah mengambil ikhtiar secara proaktif (menyediakan tapak) untuk membolehkan Kiosk Sentuhan MADANI ini diperluas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Kiosk Sentuhan MADANI di KL Sentral di sini hari ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam kenyataan berkata berdasarkan pencapaian memberangsangkan di Kiosk Sentuhan MADANI Alamanda Putrajaya, beliau percaya Kiosk Sentuhan MADANI di KL Sentral dapat memberikan prestasi lebih mantap dengan beberapa pembaharuan yang diperkenalkan.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke pada majlis itu berkata inisiatif Kiosk Sentuhan MADANI akan diperluaskan dengan pembukaan tapak kiosk ketiga di Pusat Beli-Belah One Utama, Petaling Jaya, Selangor yang dijangka dilancarkan April ini.
Mohd Khalid berkata pihaknya juga sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Johor bagi mengenal pasti syarikat-syarikat korporat dan penaja untuk menjalinkan kerjasama dalam memperluaskan inisiatif berkenaan.
“Ini adalah satu usaha yang sangat baik untuk memperkasakan perkhidmatan kepada rakyat dalam menjadikan penyampaian perkhidmatan awam lebih berkesan dan cekap, ini sebahagian daripada agenda Ketua Setiausaha Negara sendiri iaitu sebahagian daripada agenda reformasi perkhidmatan awam,” katanya.
Selain itu, beliau berkata sejumlah 4,689 transaksi dicatatkan di Kiosk Sentuhan MADANI di Pusat Beli-Belah Alamanda pada Januari 2025 dengan kiosk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan transaksi tertinggi dengan 2,981 transaksi.
Mohd Khalid berkata selain KWSP, kiosk yang mempunyai transaksi tertinggi di pusat beli-belah itu ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan MyDigital ID.
Kiosk Sentuhan MADANI menghimpunkan lebih 100 perkhidmatan kerajaan daripada enam agensi utama iaitu JPJ, Pos Malaysia, Tenaga Nasional Bhd, KWSP, Amanah Saham Nasional Berhad dan MyDigital ID.
Kiosk Sentuhan MADANI adalah cetusan idea Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah Belanjawan 2025 bagi mempercepatkan pendigitalan dan penyatuan perkhidmatan kerajaan di lokasi tumpuan, sekali gus memudahkan rakyat berurusan di luar waktu pejabat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial