KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kerjasama antara pemaju perumahan dengan kerajaan dalam menyediakan perumahan mampu milik perlu diteruskan dalam memastikan kebajikan rakyat di negara ini terus dipelihara, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.
Beliau berkata Projek Residensi Seruni di Rejang Setapak adalah contoh projek perumahan seumpama itu, yang banyak membantu rakyat khususnya golongan B40 dan M40 memiliki rumah.
“Peranan pemaju perumahan swasta sangat penting kerana mereka merupakan jambatan penghubung yang dapat membantu kerajaan menyediakan perumahan mampu milik yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, khususnya bagi golongan B40 dan M40 di Kuala Lumpur ini,” katanya pada majlis penyerahan kunci Residensi Seruni (Residensi Wilayah) di sini hari ini.
Seramai 700 pembeli rumah projek berkenaan menerima kunci masing-masing dengan setiap unit berkeluasan 924 kaki persegi dijual pada harga RM295,000 dan dilengkapi dengan kemudahan bertaraf kondominium.
Projek Residensi Seruni di Rejang Setapak adalah projek usahasama Amber Homes Sdn. Bhd. dan Rimbun Gabungan Sdn Bhd, yang memperoleh Sijil Pematuhan dan Penyiapan pada awal bulan lepas.
Azman berkata Residensi Wilayah merupakan penjenamaan semula Program Perumahan Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) yang berkembang dan ditambah baik pada 2019, dengan lebih menumpukan kepada golongan M40.
Beliau berkata menerusi inisiatif itu, sejumlah 62,968 unit telah disiapkan, dengan 93 projek sedang berjalan di seluruh Wilayah Persekutuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial